Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga menteri sokong Zambry kekal sebagai MB
Diterbitkan:  Feb 14, 2013 2:05 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau serta dua lagi menteri kabinet berusaha untuk membantu Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengekalkan jawatan tersebut sekiranya BN memenangi pilihan raya umum akan datang.

Dua lagi menteri yang menyatakan sokongan itu adalah menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Seri Nazri Aziz, kata Ahmad Zahid seperti dilaporkan akhbar Berita Harian hari ini.

"Kita beri jaminan program turun padang yang diadakan adalah untuk membantu Zambry memperkukuh usahanya, bukanlah untuk mengambilalih tempatnya.

"Beliau (Zambry) banyak memberi pembangunan kepada Perak serta rajin turun padang dan mesra rakyat," katannya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Kenyataan Ahmad Zahid itu, dalam satu majlis di Tanjung Piandang dekat Parit Buntar turut dilaporkan akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times.

Kenyataannya itu bagi menjawab spekulasi bahawa salah seorang daripada tiga menteri tersebut mungkin akan menggantikan Zambry sekiranya BN mengekalkan penguasaannya di negeri itu.

Zambry dilantik menjadi menteri besar selepas negeri itu jatuh ke tangan BN, ekoran tindakan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat yang berpaling tadah pada 2009.

ADS