Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO, profesional siar iklan tanda solidariti dengan Azrul
Diterbitkan:  Feb 14, 2013 3:31 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Sekumpulan NGO dan profesional hari ini menyatakan sokongan terbuka ke atas ekonomis Bank Islam Azrul Azwar Ahmad Tajudin yang kini masih digantung tugas, melalui iklan di satu halaman akhbar The Sun.

Iklan besar di halaman 11 akhbar tersebut turut mendakwa bank tersebut "bertindak secara tidak profesional dan tidak adil dalam menggantungkan jawatan (Azrul)", susulan satu pembentangan kontroversi di Singapura bulan lalu.

Iklan berkenaan menyenaraikan nama 59 NGO dan 135 individu dari kalangan profesional, ahli politik, ahli akademik yang bersolidariti dengan Azrul.

Antara NGO yang disenaraikan adalah BERSIH, Pusat Kewartawanan Bebas, Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) dan Tenaganita.

Individu yang disenaraikan itu pula termasuk Prof Abdul Rahman Embong (UKM), Prof Edmund Terence Gomez (UM), Prof Norani Othman (SIS) dan Fadiah Nadwa Fikri (Suaram).

Jumlah sokongan itu bertambah berbanding 54 NGO dan 107 individu seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sokongan itu timbul selepas Azrul mengesahkan bahawa beliau digantung tugas kerana didakwa "melakukan salah laku yang serius" ekoran pembentangannya itu.

Bagaimanapun, institusi itu mempertahankan tindakan mereka dan percaya bahawa Azrul Azwar telah "melanggar polisi dalaman bank dan tidak ada kaitan dengan tindakan menyuarakan pandangan politik peribadinya".

 

Bank Islam turut membuat laporan polis terhadap Azrul atas dakwaan memiliki dan mengedar dokumen sulit syarikat tanpa kebenaran.

ADS