Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Kedah enggan mohon maaf pada kakitangan Kuin

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan bahawa beliau tidak perlu memohon maaf kepada kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang didakwanya sebagai ejen Umno kerana sering membuat bantahan terhadap pengurusan kolej universiti itu.

Azizan berkata, beliau tidak kisah dengan desakan sekumpulan kakitangan yang mahu permohonan maaf dibuat kerana telah mengheret mereka ke dalam kancah politik.

"Nak mohon maaf pasai apa? Memang depa ejen Umno, sebab tu Shahrizat (Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil) bela depa. Saya tak hairan sebab mereka (kakitangan) ni ada masalah sikit, panggil wartawan cakap kat televisyen.

"Kalau mereka (kakitangan) benar-benar ikhlas, sepatutnya depa mai (mereka datang) jumpa saya.. depa ni semua orang pandai," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar dan barisan exco negeri di Istana Anak Bukit Bukit di Alor Setar, hari ini.

Beliau mengulas desakan kakitangan Kuin yang kesal kerana dituduh sebagai ejen Umno, sedangkan mereka mendakwa tidak pernah dibayar mana-mana parti politik, sebaliknya hanya berjuang untuk hak dan kebajikan masing-masing.

Mengenai desakan Shahrizat supaya Menteri Besar Kedah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat dan mengaudit isu dan dakwaan yang ditimbulkan kakitangan Kuin, Azizan berkata ia tidak perlu.

"Nak siasat apa? Kalau nak siasat pi (jumpa) SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) la," kata Azizan.

Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi baru-baru ini yang mengatakan bahawa beliau bersedia menjadi Menteri Besar, Azizan berkata semua pengerusi jawatankuasa peringkat negeri (exco) layak menyandang jawatan itu.

"Semua exco layak jadi Menteri Besar kecuali bukan Melayu... semua ahli PAS Kedah juga layak jadi Menteri Besar, tapi yang penting sekarang nak kena menang pilihan raya dulu.

"Sekarang ni saya berpuas hati dengan PAS Kedah, dan persiapan sudah berada pada 'gear empat', semua sudah standby (bersedia) untuk pilihan raya umum," katanya.

-Bernama

ADS