Kerajaan negeri berjaya menyelesaikan isu 10 kampung setinggan membabitkan 10,000 penduduk di kawasan Parlimen Pasir Gudang dengan penyerahan hak milik tanah dan pemindahan, kata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Katanya kerajaan mengambil masa agak lama untuk menyelesaikan isu itu kerana perlu melalui proses berbeza selain penempatan terbabit terletak di atas tanah milik syarikat terbitan awam.

Kerajaan negeri sebelum ini menyelesaikan masalah empat setinggan dan hari ini enam lagi kampung setinggan menerima sijil kelayakan menduduki tapak kediaman, katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sijil kelayakan memiliki rumah cadangan penempatan semula Kampung Melayu Pandan, di Johor Baharu hari ini.

Menurut Abdul Ghani, hari ini 395 keluarga dari lima kampung iaitu Kampung Sri Bahagia, Rumah 10, Plentong Baru, Plentong dan Jalan Jasa menerima sijil berkenaan.

"Manakala sebuah lagi kampung iaitu Kampung Melayu Pandan akan dipindahkan ke tapak baru seluas 8.4 hektar dengan 260 keluarga menerima rumah teres empat bilik, yang terletak kira-kira dua kilometer daripada kampung asal," katanya.

Katanya penduduk Kampung Melayu Pandan terbabit hanya perlu membayar RM25,000 untuk memiliki rumah berkenaan berbanding nilai sebenar RM75,000.

Selain itu kawasan perumahan baharu yang dibangunkan dengan kos RM86.1 juta itu juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sekolah, surau dan 20 unit gerai, katanya.

Menteri Pengajian Tinggi yang juga Anggota Parlimen Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut hadir, berkata kejayaan kerajaan Johor menangani isu enam penempatan setinggan itu menyelesaikan sebahagian besar masalah setinggan di daerah tersebut.

"Apa yang ditawarkan oleh kerajaan ini merupakan yang terbaik termasuk kepada penduduk Kampung Melayu Pandan kerana mereka hanya perlu membayar sebanyak RM25,00 untuk rumahyang berharga RM75,000.

"Ini merupakan satu bentuk penyelesaian yang setimpal yang kita lakukan dengan kesepakatan penduduk kampung yang telah diterokai hampir 60 tahun ini," katanya yang turut berterima kasih kepada menteri besar atas keprihatinan beliau.

-Bernama