Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) pada Januari 2013 naik sebanyak 4.6 peratus berbanding bulan yang sama pada 2012.

Peningkatan itu disumbang oleh kenaikan dalam semua indeks, iaitu pembuatan, perlombongan dan elektrik, yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus, 2.4 peratus dan 9.8 peratus.

Sementara itu, IPP bagi Disember 2012 disemak semula kepada positif 3.5 peratus, tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi asas bulanan, IPP menguncup sebanyak 0.8 peratus.

Jabatan itu berkata output pembuatan pada Januari 2013 mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus tahun ke tahun, selepas semakan semula kenaikan 4.3 peratus pada Disember 2012.

Peningkatan output pembuatan pada Januari dicerminkan oleh kenaikan dalam produk elektrik dan elektronik (9.1 peratus), makanan, minuman dan tembakau (10.9 peratus) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (24.6 peratus).

Output sektor perlombongan meningkat 2.4 peratus dalam tempoh tersebut berbanding pada Januari 2012.

Ini disebabkan oleh kenaikan dalam indeks gas asli pada 7.2 peratus, tetapi indeks minyak mentah kekal tidak berubah, berbanding dengan Januari 2012.

Berbanding Disember 2012, output pelarasan musim bagi indeks perlombongan turun sebanyak satu peratus.

Bagi elektrik, output meningkat sebanyak 9.8 peratus pada Januari 2013, tahun ke tahun, kata jabatan itu sambil menambah output pelarasan musim naik sebanyak 9.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

- Bernama