Tun Dr Mahathir Mohammad berkata kejayaan terbesar PAS ialah melaksana pendekatan yang menimbulkan kebencian rakyat terhadap Umno serta mengkafirkan orang yang tidak menyokong parti itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pendekatan berkenaan diguna pemimpin PAS bagi menakutkan rakyat supaya tidak menyokong Umno dan BN.

"PAS juga mengajar penyokongnya supaya membenci orang yang tidak menyokong atau mengundi PAS sebagai bukan Islam.

"Mereka kena wujudkan kebencian dalam diri orang Islam, termasuk penyokong PAS sendiri, supaya mereka tidak menyokong Umno dan BN," katanya sewaktu berucap pada program Bersama Negarawan di Kulim hari ini.

Program anjuran Umno Kulim/Bandar Baharu dengan kerjasama BN Kedah itu turut dihadiri isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan kira-kira 5,000 pemimpin serta anggota komponen BN negeri.

Dr Mahathir berkata ramai penyokong PAS kini meninggal parti itu kerana sedar pendekatan yang digunakan selama ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata PAS sebenarnya lemah kerana perlukan sokongan parti lain dalam pakatan pembangkang sehingga sanggup menggugurkan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksana hukum hudud apabila digertak rakan sendiri.

"Umno sahaja yang boleh mempertahan hak rakyat pelbagai kaum kerana BN adalah parti campuran, bukan pakatan. Pakatan ni macam 'pakat-pakat' sahaja, tidak sempurna. Nak pakat mencuri pun boleh, kemudian buat hal sendiri.

"Di Selangor, nak dapat tender projek kerajaan kena beritahu sokong parti mana, sedangkan BN tidak pernah bertanya pun. Masalah air di Kelantan tidak selesai walaupun lebih 20 tahun memerintah. Di Pulau Pinang, dulu depa marah saya buat jambatan, sekarang nak buat terowong pula," katanya.

Dr Mahathir berkata rakyat seharusnya boleh membuat penilaian bijak terhadap pencapaian pakatan pembangkang selepas lima tahun mereka memerintah empat negeri bermula 2008.

Sambil berseloroh, Dr Mahathir berkata beliau kini berkempen bagi membalas jasa orang terdahulu yang mengangkatnya menjadi Perdana Menteri.

"Orang kata saya dah tua, tak larat dah tapi saya kena balas jasa mereka," katanya yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau melihat keutuhan Umno dan BN serta sokongan positif rakyat terhadap parti komponen berkenaan bertambah baik adalah petanda BN mampu meraih kejayaan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Saya yakin matlamat kita untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) boleh tercapai. Di Kedah juga saya lihat rakyat dah menolak pakatan pembangkang," katanya.

- Bernama