Rosmah seru Wanita India Muslim lebih peka
Wanita India Muslim diseru supaya lebih peka dengan peredaran zaman dan keluar dari zon selesa serta berfikiran di luar kotak, sekiranya ingin terus maju.
Ketika membuat gesaan itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata ini akan dapat membantu golongan berkenaan agar lebih kompetitif serta mampu bersaing dengan wanita lain di dalam dan luar negara.
"Setiap kejayaan yang dinikmati merupakan natijah kepada kesungguhan, iltizam serta daya keinginan untuk lebih progresif dan berdaya saing.
"Kita mahu lihat lebih ramai wanita India Muslim berjaya dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, politik, perkhidmatan awam serta sains dan teknologi," katanya pada majlis makan malam bersama Pergerakan Wanita Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Kuala Lumpur.
Turut hadir Presiden Kimma Senator Datuk Syed Ibrahim Kader dan Ketua Wanita Kimma Kebangsaan Fatimah Zainuddin serta kira-kira 1,500 anggota pergerakan itu dari seluruh negara.
Rosmah juga berharap wanita India Muslim menanam sifat daya saing yang sihat di sanubari supaya dapat melakar sejarah dalam pelbagai bidang yang diceburi.
Katanya, penglibatan golongan itu dalam pelbagai bidang amat membanggakan malah peningkatan kepada akses pendidikan, peluang pekerjaan dan perubahan sosiobudaya membolehkan mereka lebih proaktif menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau memuji usaha Pergerakan Wanita Kimma yang amat jelas dengan misinya untuk memperkasa wanita India Muslim melalui pelbagai program pemantapan sosioekonomi dan kepimpinan.
Rosmah turut menyeru pergerakan itu agar terus berusaha meletak golongan itu pada satu tahap yang lebih baik serta merebut peluang yang ada selain mewujudkan kolaborasi dan jaringan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).
"Usaha ini dianggap sebagai pelengkap kepada usaha kerajaan bagi memastikan keseluruhan kebajikan rakyat, khususnya India Muslim, di negara ini sentiasa terpelihara," katanya.
- Bernama

