UNHCR puji M'sia selamatkan rakyat Burma
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memuji tindakan kerajaan Malaysia menyelamatkan 136 rakyat Burma dari sebuah bot yang hampir karam serta membenarkan mereka mendarat di negara ini.
Wakil UNHCR Alan Vernon berkata badan itu memuji keputusan Malaysia untuk menyelamatkan kumpulan itu selain menghulur bantuan makanan dan perubatan.
"Tindakan pantas ini telah menyelamatkan berpuluh nyawa yang mungkin menemui ajal mereka di laut," katanya dalam satu kenyataan Isnin.
Menurut laporan berita, kira-kira 136 rakyat Burma, yang dipercayai pelarian Rohingya, dijumpai hanyut beberapa kilometer dari Teluk Bahang, Pulau Pinang dalam sebuah bot yang hampir tenggelam.
Mereka dilapor berada di laut selama 25 hari dan telah kehabisan makanan serta air lebih dua hari.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kemudian menghampiri bot itu dan menyelamatkan penumpangnya.
Vernon berkata UNCHR meminta diberi akses kepada kumpulan itu bagi mengesahkan status pelarian dan akan memberi perlindungan antarabangsa, jika perlu.
- Bernama

