Prasarana kerjasama siasat dakwaan pemandu ganggu wanita
Syarikat Prasarana Negara Berhad berkata ia akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat dakwaan seorang pengurus pemasaran bahawa beliau diganggu lima pemandu bas di stesen LRT Bukit Jalil, kelmarin.
Pengarah Kumpulan Divisyen Bas Prasarana merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Zohari Sulaiman dalam kenyataan berkata RapidKL bagaimanapun memilih tidak mendedahkan perkara itu sekarang kerana ia masih dalam siasatan.
Wanita berusia 33 tahun itu mendakwa dia sedang menunggu rakan sekerjanya di dalam kereta berhampiran stesen itu apabila sebuah bas RapidKL menghampiri belakang keretanya dan membunyikan hon.
"Saya bergerak ke hadapan tetapi pemandu bas terus membunyikan hon dan datang lebih dekat sehingga kereta saya tersepit antara dua bas," katanya dipetik sebagai berkata.
- Bernama

