Seorang lelaki yang ditahan di lokap Balai Polis Kampar dekat Ipoh sejak Isnin lepas mati akibat 'Pulmonary Embolism' pada jam 8 pagi kelmarin.

Lelaki berumur 47 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan mengiring tanpa baju dan hanya berseluar lokap.  

    

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata sebelum ini lelaki terbabit adakalanya bercakap seorang diri dan menangis selain berkelakuan seperti orang kurang siuman.

    

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, tiada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu," katanya kepada pemberita.

    

Beliau berkata orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba berbuat demikian.  

    

"Polis bertindak telus dalam perkara ini sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah dilakukan dalam kes ini," katanya.

    

Difahamkan sebelum ini keluarga lelaki terbabit mendakwa kejadian itu berunsurkan pergaduhan.

    

Lelaki itu ditahan bersangkut dengan kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pada 8 Mac lepas Mahkamah Majistret Kampar menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan dan denda sebanyak RM2,000 terhadapnya.

    

Si mati yang mempunyai 18 rekod lampau membabitkan kes pecah rumah dan curi sepatutnya di hantar ke Penjara Tapah semalam.

- Bernama