Polis membuka dua kertas siasatan berhubung tindakan penceroboh di Pantai Timur Sabah, kata timbalan ketua polis negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Salah satu kertas siasatan tersebut adalah untuk kes di Lahad Datu dan satu lagi bagi kejadian di Simunul, katanya.

Tambahnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 130 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan juga Kanun Keseksaan bagi kesalahan berhubung keganasan.

"Siasatan ini dijalankan bawah Sosma dan Kanun Keseksaan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Maklumat berkenaan bagaimanapun perlu disahkan melalui pusat media Ops Daulat di Lahad Datu, katanya.

Siasatan berkenaan dipercayai berhubung kejadian yang menyebabkan kematian dua orang anggota tersebut di Lahad Datu dan enam lagi dalam satu serang hendap di Kg Simunul, Semporna.

Seorang lagi anggota keselamatan dari pasukan ATM terbunuh hari dalam pertempuran dengan anggota 'tentera diraja Sulu' di Sungai Nyamuk di Lahad Datu pagi ini.