Gerakan Mahasiswa 13 (GM13), yang bercadang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 kali ini, akan mengumumkan calon mereka selepas Parlimen dibubarkan.

Penyelaras GM13, Mohd Bukhairi Mohd Sufian berkata senarai calon yang akan terdiri daripada beberapa wakil universiti tempatan sedang diteliti.

"Kita ada enam atau tujuh calon untuk diketengahkan," katanya kepada pemberita selepas Forum Dimensi Politik Baru Mahasiswa 2013 di Universiti Malaya di Kuala Lumpur, malam tadi.

Forum itu merupakan yang pertama kali diadakan di universiti berkenaan selepas Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda pada April 2012.

Turut menjadi panel forum itu ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Presiden Karisma Marwan Kahar.

Antara kawasan yang dipertimbang untuk ditandingi ialah Pekan, Pahang, katanya.

- Bernama