Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir cerita permulaan cintanya dengan Bosnia
Diterbitkan:  Mar 16, 2013 11:07 AM
Dikemaskini: 3:09 AM

Syarikat Malaysia perlu melabur di Bosnia terutama dalam sektor pelancongan dan industri perhotelan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Bosnia, yang dikurniakan lanskap pergunungan dan lembah yang indah serta bekalan air segar, memiliki potensi luas untuk pelancongan dan industri pembotolan air.

"Industri pembotolan air boleh menjadi sumber pendapatan untuk Bosnia. Bagi pelancongan, Sarajevo adalah tempat yang hebat untuk sukan musim sejuk. Bosnia harus mempromosi perkara ini dan rakyat Malaysia perlu melabur di Bosnia.

"Mereka (rakyat Malaysia yang melabur di Bosnia) tidak akan rugi. Mereka akan mendapat keuntungan dan menikmati keindahan Bosnia pada musim panas dan sejuk," katanya ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan untuk beliau yang dihoskan Kedutaan Bosnia dan Herzegovina di Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menyentuh bantuan Malaysia kepada Bosnia ketika berlaku peperangan di negara itu pada awal 1990-an ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

"Apabila seorang rakyat Bosnia meminta saya menghulurkan bantuan, saya tidak pasti sama ada Malaysia boleh melakukan apa-apa kerana pada ketika itu, suara Malaysia amat perlahan di arena antarabangsa.

"Bagaimanapun, saya memutuskan untuk membantu atas dasar simpati, dan itu adalah permulaan hubungan cinta saya dengan Bosnia. Sehingga hari ini, saya masih mengunjungi Bosnia dan saya akan ke sana sekali lagi pada tahun ini," katanya.

Sementara itu, Duta Besar Bosnia dan Herzegovina ke Malaysia Tarik Bukvic dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir atas sokongan dan bantuan beliau ketika peperangan di negara berkenaan pada awal 1990-an.

"Kami rakyat Bosnia akan sentiasa mengingati Tun Dr Mahathir dan Malaysia. Kami berterima kasih kepada anda," katanya.

Dalam ucapannya, Bukvic turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis dan tentera yang dibunuh pengganas ketika Operasi Daulat di Sabah.

"Saya mengucapkan takziah dan berdoa untuk semua wira Malaysia yang gugur di Sabah. Saya turut berdoa agar perjuangan pasukan keselamatan Malaysia di Sabah akan berakhir," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS