Puad cabar Kit Siang bertanding kawasan Melayu
Ahli majlis tertinggi Umno Puad Zarkashi mencabar penasihat DAP Lim Kit Siang untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu bagi membuktikan bahawa pemimpin veteran berkenaan tidak hanya diterima oleh kelompok pengundi Cina.
Cabaran itu dikemukakannya susulan pengumuman Lim semalam bahawa DAP akan bertanding di kawasan parlimen Gelang Patah di Johor dan kerusi Bentong di Pahang, yang menjadi rebutan antara parti itu dengan PKR sebelum ini.
Menurut laporan akhbar Berita Harian hari ini, Puad juga mendakwa Lim sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana sering berpindah kawasan pilihan raya.
“Saya cabar Kit Siang bertanding di kawasan majoriti Melayu atau kawasan seimbang semua kaum, jika beliau mahu bertanding di Johor pada pilihan raya umum ke-13 ini bagi buktikan yang beliau bukan hanya diterima kaum Cina.
“Bagi saya, Kit Siang bukan pemimpin atau MP bertanggungjawab kerana tindakannya yang gemar berpindah kawasn setiap kali pilihan raya membuktikan beliau seolah-olah lari daripada pengundi kawasn lamanya, termasuk Ipoh Timur (2004, 2008), Tanjong (1986-1989) dan Kota Melaka (1982-1986).
“Jadi MP bukan setakat mahu tunju hero dan pandai berjanji saja, tapi buat kerja untuk manfaat masyarakat tapi apa sudah dilakukan Kit Siang di kawasan lamanya sebelum ini? Oleh itu tidak ada sebab masyarakat Johor nak sokong dia,” katanya seperti dipetik akhbar itu.
Lim dijangka mengumumkan keputusannya untuk bertanding di kawasan parlimen di Johor dalam majlis sambutan ulangtahung ke-47 DAP di Skudai malam ini.
MP berkenaan pada hari Sabtu lalu berjanji bahawa beliau akan mendapatkan maklum balas daripada warga Johor, selain penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat, sebelum membuat keputusan itu.
Spekulasi yang timbul setakat ini menyebut bahawa Lim mungkin akan bertanding di kawasan parlimen Gelang Patah - kawasan yang diwakili MP MCA Tan Ah Eng dalam pilihan raya umum 2008.
Ia merupakan salah satu daripada beberapa kerusi parlimen di Johor dengan lebih 50 peratus pengundi Cina.

