Polis membebaskan kesemua 143 orang pekerja asing Nepal yang ditahan dalam operasi di sekitar bandar ini semalam berikutan dakwaan cuba mengadakan demonstrasi berhubung skim gaji minimum.

Pekerja itu membantah kegagalan majikan membayar gaji di bawah skim gaji minimum seperti diputuskan kerajaan.  

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Shahadan Jaafar berkata, mereka dibebaskan pada kira-kira pukul 7 malam semalam setelah kenyataan masing-masing diambil.

Pembebasan itu untuk membolehkan mereka kembali meneruskan kerja di beberapa buah kilang perabot di sekitar daerah ini.

"Polis tidak menemui sebarang senjata daripada kesemua 143 orang itu," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di Muar hari ini.

Sebelum itu, Shahadan menerima sumbangan RM960 dari Persatuan Penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Johor cawangan Muar di majlis tersebut untuk disumbangkan kepada Tabung Wira Lahad Datu.

- Bernama