AirAsia henti penerbangan ke Da Nang 10 Jun
Syarikat penerbangan kos rendah, AirAsia Bhd, akan menghentikan penerbangan empat kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Da Nang, Vietnam, berkuatkuasa 10 Jun, sebagai sebahagian daripada penjajaran semula rangkaian laluannya.
Dalam satu kenyataan, AirAsia berkata pelanggannya yang menerima kesan pemberhentian laluan itu akan ditawarkan opsyen bagi meringankan sebarang ketidakselesaan yang mungkin dialami.
Katanya setiap pelanggan yang terlibat akan diberitahu melalui akaun emel anggota yang berdaftar pada lamanweb AirAsia serta melalui satu pemberitahuan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) mengenai pemberhentian laluan itu.
Kesemua pelanggan dinasihati supaya mengemaskini alamat emel dan nombor telefon mudah alih masing-masing yang turut menampilkan kod negara di sebelah hadapan di dalam profil ahli masing-masing bagi memastikan syarikat penerbangan dapat menghubungi mereka untuk menyediakan bantuan berikutan pembatalan laluan itu.
AirAsia berkata para pelanggan yang terlibat akan ditawarkan tiga opsyen, yang akan termasuk mempercepatkan penerbangan masing-masing ke satu tarikh lebih awal ke atau dari Kuala Lumpur atau Da Nang, Vietnam, tanpa dikenakan sebarang caj tetapi bergantung kepada ketersediaan tempat.
Ia akan turut menawarkan satu had kredit bagi nilai yang mereka telah bayar dengan tarikh sah selama enam bulan atau pembayaran balik sepenuhnya.
Para pelanggan boleh menghubungi pasukan penjagaan pelanggan AirAsia melalui media sosial melalui twitter.com/AskAirAsia bagi membuat pertanyaan lanjut mengenai penggantungan laluan itu.
- Bernama

