Petisyen desak PM tubuh RCI rasuah S'wak
Sebuah kumpulan memulakan petisyen dalam talian bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentuk suruhanjaya diraja (RCI) berhubung dakwaan rasuah di Sarawak ekoran pendedahan berkaitan baru-baru ini.
Petisyen itu menyebut, siasatan penyamaran oleh Global Witness yang berpangkalan di London menunjukkan bagaimana Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dan keluarganya "mengumpulkan kekayaan besar melalui penyalahgunaan pejabat kerajaan dengan perbelanjaan luar biasa bagi rakyat Sarawak dan Malaysia".
"Terlalu banyak wang milik rakyat Malaysia disalurkan ke luar negara. Kerajaan mesti melangkaui kepentingan politik partisan dan bertindak berdasarkan kepentingan negara unuk menghentikannya," kata kumpulan tiga individu itu.
Mereka mengambil tindakan itu ekoran pendedahan Global Witness pada Selasa melalui klip video yang menunjukkan bagaimana anggota keluarga Taib dan rakan mereka menyalahgunakan lesen pembalakan.

