BN: Slogan k'jaan PAS Kedah hanya slogan
Slogan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' yang dilaungkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu hanya sekadar slogan kerana selepas lima tahun mentadbir tidak ada apa yang dapat dibanggakan mereka.
Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sebarang pembangunan yang ada sejak 2008 hingga sekarang merupakan kesinambungan usaha kerajaan BN terdahulu dan projek baharu pula adalah inisiatif kerajaan pusat yang tidak mahu melihat rakyat di Kedah tercicir.
"Kerajaan janji sejahtera, tak nampak sejahteranya. Apa kerajaan buat dalam tempoh lima tahun ini. Orang cerita masalah perumahan, peluang pekerjaan, pembangunan dan macam-macam. Selepas lima tahun mana sejahteranya," katanya kepada
Bernama
selepas menghadiri Program Penggerak PRU-13 Bahagian Langkawi di Langkawi hari ini.
Katanya rakyat yang ditemui di pelbagai peringkat mengeluh dengan suasana di Kedah sekarang dan rata-rata mahu BN kembali mengambil alih kerajaan negeri.
BN tampil dengan slogan 'BN Menang Kedah Senang' kerana mahu memastikan kehidupan lebih baik kepada rakyat berbanding keadaan mereka sekarang dan BN telah membuktikan setiap janji dikota, katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Bashah yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Kedah bertemu dengan barisan pemimpin Umno serta parti komponen BN di Langkawi yang melibatkan bahagian, cawangan serta 27 pusat daerah mengundi (PDM).
"Langkawi adalah bahagian ketiga selepas Padang Terap dan Pokok Sena. Ini adalah pusingan terakhir untuk perjumpaan dengan jentera parti dan kita akan pergi ke semua 15 bahagian," katanya.
Katanya persiapan BN Kedah kini berada pada tahap yang baik dan perjumpaan dengan pengundi telah dilakukan tiga kali.
"'Mood' orang-orang kami cukup baik dan semangat tinggi. Pertemuan seperti ini penting bagi memastikan semangat itu dapat dipertingkatkan," katanya.
- Bernama

