Pengarah: Tanda Putera tangguh salah pembangkang

       

Pengarah filem Tanda Putera Datuk Shuhaimi Baba menyalahkan parti pembangkang yang tidak dapat menerima "filem kenegaraan" berkenaan sehingga menyebabkan karya tersebut ditangguhkan tayangannya.

Sedangkan, golongan yang menyuarakan bantahan berkenaan  masih belum menonton filem tersebut, katanya dalam satu forum di Shah Alam hari inil.

NONE Beliau bagaimanapun tidak menamakan pemimpin pembangkang yang menyatakan bantahan tersebut, termasuk dalam tulisan emel dan di laman sosial.

"Kita buat filem untuk penonton filem. Yang tak boleh terima filem kenegaraan ini ialah orang-orang dari parti pembangkang. Buat petisyen hentam kami.

"Berjela-jela dia punya emel sehinggakan filem kenegaraan saya tak boleh ditayangkan," katanya.

Katanya beliau mahu membuat filem yang berbeza daripada genre filem hantu dan filem komedi.

"Tapi bila kita buat (filem berbeza) tak boleh terima. Silap dia kepada siapa? Penonton saya boleh terima. Minda mereka terbuka.

"Tapi orang yang tak tengok filem saya, orang dari parti pembangkang ini, penuh saya punya Facebook, emel saya...dengan dia punya bahasa tak payah cakaplah," katanya lagi.

Tambahnya, beliau kesal kerana filem berkenaan didakwa akan menyebabkan berlaku huru-hara dalam negara.

"Ada yang kata kalau tunjuk saya pergi neraka. Dia dah tengok belum? Mereka ini juga secara terus terang kata mereka dari pembangkang," katanya.

Forum bertajuk 'Artis Masuk Politik: Kredibiliti atau Pancing Undi' itu dianjurkan Karangkraf.

Filem Tanda Putera merupakan sebuah filem yang memaparkan kisah perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Menelan belanja RM4.8 juta, ia diterbitkan oleh Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama FINAS.

Tanda Putera sebelum ini sepatutnya ditayangkan pada 13 September tahun lalu tetapi ditunda kepada 15 November.

Bagaimanapun tiada penayangan pada 15 November dan ditangguh kepada tahun ini.

Keputusan untuk menangguhkan tayangannya diputuskan oleh jemaah menteri dengan alasan demi kebaikan antara kaum kerana mengandungi babak yang mungkin menimbulkan konflik.

Filem itu bagaimanapun telah ditayangkan secara tertutup kepada pelajar serta kakitangan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak dan Kuantan awal bulan ini serta kepada kira-kira 3,000 peneroka Felda pada Februari lalu. 

Malaysiakini
terkini untuk anda