Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Kedah menghentikan segera kegiatan pembalakan di satu kawasan hutan simpan berhampiran Changlun, Kedah yang didakwa boleh menjejas alam sekitar dan kehidupan penduduk di kawasan itu.

Presiden CAP SM Mohamed Idris mendakwa, kegiatan pembalakan itu akan menggugat aktiviti pertanian dan ekonomi penduduk di tiga buah kampung – Kampung Wang Perah, Kampung Bukit dan Kampung Kubang Betong.

NONE “Di samping itu beberapa batang sungai dan anak sungai di Kubang Pasu, Temin, Hosba, Binjai dan Malau mungkin tercemar dan ketandusan sumber air pada masa akan datang jika keadaan ini berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

SM Mohamed mendakwa demikian berdasarkan tinjauannya di kawasan kampung itu, yang menemui lori pengangkut balak keluar masuk melalui jalan kampung itu.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada hujung bulan lalu menjelaskan bahawa pembersihan hutan Bukit Perangin dalam kompartmen tujuh di Wang Perah dalam daerah Kubang Pasu itu dilakukan oleh pemiliknya dan tidak melibatkan kerajaan negeri.

Azizan menjelaskan, tanah hutan simpan kekal itu seluas 142.76 hektar diberi hak milik kepada 40 orang pegawai kanan dari kalangan Pegawai Tadbir Negeri (KCS) atau 3.569 hektar seorang pada 2010.

"Mereka membuat permohonan kepada kerajaan terdahulu (BN) yang meluluskannya. Bagaimanapun kita dapati kawasan yang hendak diberikan tidak sesuai dan menggantikannya dengan kawasan dalam kompartmen tujuh di Wang Perah kerana ia bukan kawasan tadahan hujan.

"Pembersihan yang dibuat sehingga kawasan itu licin bukan tanggungjawab kerajaan negeri. Pengeluaran balak dilesenkan oleh Jabatan Perhutanan," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama pada 25 Februari.