Editor veteran Zainon Ahmad meninggal dunia
Editor Perunding akhbar The Sun , Zainon Ahmad, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu akibat kanser hati.
Isteri Allahyarham, Hasnah Abdullah dan anak-anak mereka merupakan antara yang berada di hospital berkenaan ketika Zainon menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 2.20 petang ini, menurut seorang wartawan The Sun yang berada di hospital berkenaan.
Alyaa Abdul Aziz Alhadjri yang juga anggota exco Kesatuan Wartawan Kebangsaan The Sun ketika dihubungi Malaysiakini berkata jenazah Allahyarham juga dijangka akan dikebumikan di Kota Bharu.
Anggota keluarga dan saudara-mara juga tidak putus-putus menziarahi Zainon, 70, apabila beliau tidak sedarkan diri sejak petang semalam selepas dan dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital berkenaan.
Zainon yang pernah menjadi guru selama tiga tahun sebelum menyertai dunia kewartawanan 35 tahun dulu merupakan Penolong Editor Kumpulan akhbar The New Straits Times .
Beliau kemudiannya menjadi Ketua Pengarang akhbar The Sun pada 2002.
Zainon yang sering diundang untuk berucap mengenai peranan media dalam persidangan tempatan dan antarabangsa turut aktif dalam pelbagai program latihan untuk wartawan muda di dalam dan luar negara.
Beliau pernah memenangi Media Personality Award pada 2010. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya.

