Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sambutan 50 tahun S'wak dalam M'sia fokus 'harmoni antara semua'
Diterbitkan:  Mar 28, 2013 12:05 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia tahun ini adalah begitu bermakna serta signifikan bagi rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini kerana sejak kemerdekaan mereka menikmati kestabilan politik, keharmonian, keamanan dan ketenteraman, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Beliau berkata suasana yang begitu rupa juga membolehkan keyakinan daripada pelabur yang menyebabkan banyak transformasi wujud di seluruh Sarawak berbanding tahun 1963 ketika ia mula menyertai pertubuhan Malaysia.

"Semasa itu Sarawak adalah di dalam kedudukan tiga buah negeri yang terbawah prestasinya, sedangkan sekarang di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kita telah menyaksikan prestasinya meningkat ke tahap tiga buah negeri yang teratas," kata Jabu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Induk ketika di temubual dalam program 'Selamat Pagi Malaysia' di

RTM 1 hari ini.

Katanya maka sambutan ulang tahun berkenaan adalah tepat kerana penyertaan rakyat jelata membuktikan bahawa semua dapat bersama menikmati segala kejayaan hasil daripada transformasi yang diwujudkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat termasuk pembasmian kemiskinan di seluruh Bumi Kenyalang ini.

Bagi perayaan sambutan ke-50 ini, beliau yakin tema 'mengisahkan dan memfokuskan kepada harmoni antara semua' dapat mengatasi segala isu dalam suasana yang baik menerusi keharmonian untuk memastikan Sarawak bertambah maju, aman dan stabil supaya dapat dinikmati generasi yang akan datang.

"Inilah cara semasa kita menyambut perayaan, kita juga berazam untuk bekerja lebih gigih untuk menepati sasaran yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak letakkan dan begitu juga matlamat ketua menteri yang mahu menuju ke arah tahap ekonomi berpendapatan tinggi," kata Jabu.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akan melancarkan upacara sambutan pada malam Ahad ini di Stadium Tertutup Petra Jaya di sini, yang akan di sertai lebih 5,000 rakyat daripada pelbagai lapisan kehidupan.

Selain majlis pelancaran yang penuh warna-warni, katanya sambutan itu mengandungi lapan acara utama yang akan dilangsungkan di seluruh negeri termasuk di peringkat residen, daerah dan daerah kecil supaya rakyat jelata dapat bersama menikmati hasil kemerdekaan dalam suasana riang gembira.

Ini termasuk simposium kebudayaan dari April hingga Disember, pameran pembangunan yang dicapai Sarawak sejak 50 tahun lepas (pada Julai), majlis kesyukuran di Masjid Jamek dan oleh institusi agama lain (15 Sept), perhimpunan rakyat, perarakan dan pertunjukan bot berhias (16 Sept), majlis

penganugerahan bintang dan pingat kebesaran khas serta majlis penutup sambutan di Kuching pada November.

Wakil rakyat juga akan terlibat dengan mengadakan pameran simposium atau penglibatan aktiviti dengan golongan remaja, tua dan wanita di kawasan masing-masing, katanya sambil menambah bahawa slogan negeri Sarawak ialah 'An Honour To Serve' atau penghormatan untuk berkhidmat.

Sarawak mencapai status kemerdekaan selepas menyertai Malaysia bersama Sabah, Malaya dan Singapura pada 16 September 1963.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS