Polis awasi ceramah motivasi, agama: Norian
Ceramah-ceramah motivasi dan agama yang disampaikan oleh penceramah-penceramah bebas akan diawasi polis bagi mengelakkan kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara, kata Ketua Polis Negara hari ini.
Tan Sri Norian Mai berkata demikian selepas polis menangkap seorang lagi pemimpin Parti Keadilan Nasional, Dr Badrul Amin Baharom, Jumaat lalu.
Dalam serbuan di kediamannya di Kepong, Selangor, polis turut merampas risalah-risalah kem perkhemahan motivasi yang dikendalikan oleh aktivis pembangkang itu. Selain itu, polis juga merampas komputer, video cakera padat (VCD), diari, pelekat kempen 'Bebaskan Anwar' (FAC) dan resit derma orang ramai kepada Keadilan bahagian Sabak Bernam, Selangor dalam simpanan Dr Badrul Amin.
Tangkapan ini menjadikan jumlah tahanan semuanya lapan orang sejak operasi ISA pada 10 dan 11 April lalu.
Dr Badrul Amin lebih dikenali sebagai penceramah agama dan motivasi sebelum menyertai parti itu pada 1999 dan bertanding dalam pilihanraya umum di Sabah tahun itu atas tiket Keadilan.
Menurut laporan agensi berita kebangsaan Bernama , Norian bagaimanapun berkata tidak semua penceramah agama dan motivasi menimbulkan bahaya keselamatan.
"Semua tindakan polis tertakluk kepada keperluan kawalan keselamatan," katanya, seperti dilaporkan, selepas merasmikan dua makmal komputer di Maktab Rendah Sains Mara PDRM di Kulim, Kedah.
Dua hari lalu, Norian berkata polis masih lagi mencari beberapa aktivis pembangkang yang didakwa terbabit dengan lapan tahanan ISA itu untuk ditahan di bawah akta yang sama.
Bagaimanapun sumber-sumber pembangkang tidak yakin semua mereka yang ditahan itu ada kaitan dengan perhimpunan bagi menyerahkan memorandum rakyat di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 14 April lalu.
Malaysiakini difahamkan beberapa aktivis pembangkang kini diawasi oleh polis. Bagaimanapun tiada tangkapan dilaporkan setakat ini.
Menurut sumber-sumber pembangkang, mereka yang dikehendaki polis termasuklah aktivis reformasi Abd Malek Hussin dan aktivis Pemuda Keadilan Lokman Noor Adam.
Kedua-dua mereka pernah ditahan selama 60 hari di bawah ISA pada 1998, selain menghadapi beberapa perbicaraan bagi kes perhimpunan tanpa permit.
Dua minggu lalu, sebuah mahkamah di Kuala Lumpur juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Lokman kerana gagal menghadiri satu perbicaraan kes perhimpunan haram.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.