Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Pembangkang tonjol diri melalui projek k'jaan
Diterbitkan:  Apr 2, 2013 9:31 AM
Dikemaskini: 1:33 AM

Pembangkang kini menonjolkan diri melalui projek dan program kerajaan dengan mendakwa apa yang dinikmati rakyat adalah hasil perjuangan mereka, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Beliau berkata langkah terdesak itu bertujuan meraih sokongan pengundi menjelang pilihan raya umum dan beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengannya.

Berucap pada majlis penyampaian bantuan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di Simpang Empat dekat Kangar malam tadi, beliau berkata selama ini kerajaan BN yang membawa pembangunan di Perlis.

Md Isa berkata kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan serta program bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat secara berterusan.

NONE "Mereka (pembangkang) mengaku bahawa projek yang memberi keuntungan kepada rakyat adalah hasil usaha mereka," katanya.

Sebelum itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Rosley Mat ketika berucap di majlis itu berkata pembangkang pernah menolak pembangunan di kawasan bandar Kangar termasuk semasa cadangan memindahkan Pasar Besar Kangar ke Kampung Sena beberapa tahun lalu.

Katanya mereka mengkritik MPK kerana membuat keputusan memindahkan pasar itu dengan alasan ia menjejaskan rezeki para peniaga namun apabila para peniaga meraih pendapatan lebih baik di lokasi baru menyebabkan pembangkang mengubah kenyataan.

Mereka mula muncul di khalayak ramai dan mengaku bahawa merekalah yang berjuang untuk memindahkan pasar itu bagi meningkatkan pendapatan para peniaga, katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 151 penduduk bandar menerima bantuan berjumlah RM1.2 juta dengan 84 daripadanya menerima bantuan sewa rumah untuk tempoh setahun, 48 orang menerima bantuan membina dan membaiki rumah dan 19 orang menerima bantuan kiosk perniagaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS