PAS kesal dan memandang serius terhadap siri tindakan "keras dan melampau" oleh pihak berkuasa terhadap golongan mahasiswa, terutamanya tangkapan dalam program anjuran mereka.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu tidak setara dengan "luahan perasaan" berkaitan isu sekeliling yang cuba disampaikan golongan itu.

NONE "Generasi mahasiswa ini juga wajar dinilai suara hati dan pandangan mereka, kerana merekalah sebenarnya yang sangat terkesan dengan isu-isu sekeliling dan permasalahan ekonomi yang dialami oleh mereka di masa kini dan akan datang," katanya.

Tiga aktivis mahasiswa ditahan polis pada 22 Mac lalu kerana cuba memasuki Angkasapuri bagi bertemu dengan pengurusan RTM untuk menuntut ruang berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selang beberapa hari, berlaku tangkapan penuntut Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan ketika mengadakan "Sudut Pidato" dan mengedarkan risalah sekitar Labuan, dan terkini pada 31 Mac lima mahasiswa ditahan di Putrajaya kerana menganjurkan Konvoi dan Himpunan Anak Muda Tolak Umno-BN (TOLAK), kata Abdul Hadi.

Dalam kenyataannya semalam, Abdul Hadi juga membangkitkan dakwaan tekanan berasaskan politik terhadap hal-ehwal universiti, termasuk terhadap ahli akademik, isu pelantikan ke jawatan utama universiti yang tidak berasaskan kesarjanaan dan pelantikan ahli lembaga pengarah universiti awam yang dipertikaikan.

Katanya, semua itu cukup untuk menggambarkan kecelaruan kerajaan pimpinan BN yang didakwa terus gagal membawa dunia menara gading ke mercunya.