'Telatah BN petanda saingan hebat Azizah di S'gor'
Telatah BN terhadap ura-ura Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Selangor dalam pilihan raya umum akan datang memberi petanda akan berlaku persaingan hebat di negeri itu, kata setiausaha politik kepada menteri besar.
Faekah Husin berkata, kritikan BN, antaranya oleh Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Noh Omar secara tidak langsung mengakui bahawa Wan Azizah digeruni di negeri Darul Ehsan itu.
"Berpindah kawasan adalah perkara biasa dan merupakan strategi politik bagi setiap parti. Ia melambangkan keberanian seseorang pemimpin untuk keluar dari zon selamat dengan tujuan mengembangkan pengaruh parti.
"Tidak seperti pemimpin berjiwa kecil seperti Noh yang memilih zon selamat seperti Tanjung Karang, pengundi majoriti Melayu dan tidak berani bertanding di kawasan bandar dengan pola penduduk bercampur," sindir Faekah.
Wan Azizah baru-baru ini dilapor mungkin bertanding di kerusi DUN Selangor pada pilihan raya akan datang - yang mengundang kritikan BN kerana didakwa mengamalkan nepotisme dalam parti.
Mengulas perkara itu, Noh dilaporkan menyindir kenapa PKR tidak membawa sekali anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, yang juga anaknya, untuk bertanding di Selangor.
Noh berkata, kalau perkara ini benar-benar terjadi, Selangor akan jadi tempat berkumpul sebuah keluarga dalam politik.
Dalam kenyataannya hari ini, Faekah mengingatkan Noh supaya tidak sekali-kali menyamakan perjuangan "tiga beranak" itu dengan politik dalam BN kerana ia berasaskan politik perjuangan yang memaksa mereka tampil memimpin rakyat.
"Keadilan pada ketika itu tidak memberi sebarang pilihan kepada mereka. Tidak seperti politik Umno yang telah memerintah selama 55 tahun.
"Meletakkan anak beranak dalam kedudukan parti bertujuan menyerahkan tampuk pemerintahan sebagai warisan," kata Feekah.
Malaysiakini bagaimanapun difahamkan nama Wan Azizah tidak pernah timbul dalam perbincangan untuk penentuan calon untuk kerusi-kerusi di negeri itu sebelum ini.

