Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa lagi pemimpin parti itu dimaklumkan oleh polis petang semalam agar hadir di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 10 pagi ini.

Turut dikehendaki polis atas dakwaan 'perhimpunan haram' pada majlis hari keluarga pagi Ahad itu ialah ADUN Hulu Klang Mohd Azmin Ali dan seorang ahli jawatankuasa bahagian, Syed Bani Amin Syed Baharudin.

Bagaimanapun, Wan Azizah dan Syed Bani Amin sahaja akan ke IPK. Menurut sumber, Syed akan sampai jam 10 pagi dan Wan Azizah pada jam 11 pagi.

Walaupun berada dalam senarai yang dikehendaki, Azmin gagal dihubungi polis semalam.

Polis juga dikatakan mencari Ketua Pemuda, Mohamad Ezam Mohd Nor dan Ketua Perhubungan Wilayah Persekutuan, Zainur Zakaria tetapi dua pemimpin terakhir ini belum dapat disahkan hingga kini.

Ketua Penerangan Ruslan Kassim juga dikhabarkan dalam senarai polis. Semua mereka ini, sama ada berucap atau tidak, hadir dalam majlis berkenaan.

Menurut sumber, pemimpin-pemimpin ini kemungkinan besar akan turut dipanggil.

Dalam perhimpunan di perkarangan pejabat KeADILan Hulu Klang di Desa Melawati dua hari lalu, dua buah lori polis dan tiga buah jip kelihatan mengawal majlis sosial itu.

Polis mengisytiharkan perhimpunan yang diadakan sebelah pagi sehingga tengahari sempena menyambut ulangtahun pertama parti itu sebagai haram.