PAS Perlis melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Md Isa Sabu sebagai memalukan apabila beliau cuba membuat andaian buruk membabitkan parti pembangkang.

Dalam kenyataannya yang dipetik Bernama , Md Isa menyifatkan parti pembangkang kini menonjolkan diri melalui projek dan program kerajaan dengan mendakwa apa yang dinikmati rakyat adalah hasil perjuangan mereka.

md isa sabu and supporters in perlis 170308 Mengulas tuduhan Md Isa itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir  bekata kenyataan yang dikeluarkan menteri besar itu tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

"Apa logiknya tuduhan beliau itu mengatakan pembangkang menonjolkan diri melalui projek dan program kerajaan? Md Isa kena buktikan tuduhan ini dan bukannya melemparkan tuduhan seperti ini.

"Bila, di mana dan siapakan pemimpin pembangkang yang berkata sedemikian? Bercakaplah dengan fakta dan jangan buat andaian murahan sebegini. Menteri besar kena bertanggungjawab kepada rakyat dan bukan bercakap seperti di kedai kopi.

"Jangan perlekehkan gelaran YAB itu menerusi cakap kosong yang memualkan," katanya.

'Bertanam tebu di bibir'

Sementara itu, mengulas kenyataan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Rosley Mat bahawa pembangkang pernah menolak pembangunan di Kangar, Mohd Anuar menyifatkannya sangat tidak bertanggungjawab.

NONE

Mohd Anuar ( kanan ) berkata, ini kerana kapasitinya selaku penjawat awam yang harus profesional dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

"Nampak sangat kata-kata beliau itu bersifat palsu dan 'bertanam tebu di bibir'. Beliau kena bertanggungjawab dalam membuat sebarang kenyataan atau ucapan, jangan mengada-adakan sesuatu hanya kerana nak mengampu MB.

"Kenyataan beliau sebegini menampakkannya sebagai tidak adil, berat sebelah dan tidak jujur. Kami tegaskan, kalau YDP MPK sendiri terlalu ingin berpolitik, letak jawatan dan bergiat dalam politik kepartian. Mana tahu mungkin dipilih jadi calon BN nanti," tegasnya.

Bernama sebelum ini melaporkan Rosley membuat kesimpulan itu dengan mendakwa pembangkang pernah menolak cadangan memindahkan Pasar Besar Kangar ke Kampung Sena beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, tambahnya, kini pembangkang mengubah kenyataan dengan nmengatakan perpindahan itu hasil perjuangan mereka, lapor agensi berita nasional itu.