Pegusaha insurans dakwa kementerian 'tutup periuk nasi'
Kerajaan diminta menyemak semula keputusan membenarkan hanya sebuah syarikat untuk menjual insurans perubatan kepada pelajar antarabangsa yang menuntut di institusi pengajian tinggi di negara ini.
Presiden Persatuan Wakil Insurans Am Malaysia (Perwakim), Athi Rao menyifatkan perkara itu sebagai tidak adil dan menutup 'periuk nasi' wakil insurans lain.
"Kira-kira 50 peratus daripada 37,000 ahli persatuan ini terlibat dalam menyediakan insurans perubatan dan keputusan drastik ini menyebabkan ada di antara mereka yang sebelum ini terlibat menyediakan khidmat itu kepada pelajar antarabangsa kehilangan pendapatan bulanan serta-merta," katanya kepada Bernama.
Katanya ini berikutan keputusan kerajaan mewajibkan pelajar antarabangsa memohon insurans perubatan daripada Education Malaysia Global Services (EMGS) mulai Februari lepas.
Menurut Rao, pada 2008, kementerian menetapkan perlindungan insurans sebagai syarat mandatori bagi perakuan kelulusan permohonan Pas Pelajar Antarabangsa, dan menamakan lima wakil insurans untuk menyediakan khidmat tersebut.
EMGS merupakan syarikat milik penuh Kementerian Pengajian Tinggi yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi memantau, menyelia dan menyelaras urusan berkaitan promosi, pemasaran dan perkhidmatan sokongan penuntut asing di negara ini.
Menurut kenyataan EMGS baru-baru ini, mereka memastikan premium standard pada harga berpatutan ditawarkan kepada semua pelajar antarabangsa dengan jaminan bahawa mereka akan mendapat perlindungan komprehensif serta penjagaan kesihatan yang sewajarnya sepanjang berada di Malaysia.
Dianggarkan kira-kira 100,000 pelajar antarabangsa menuntut di institusi pengajian tinggi di Malaysia pada masa ini.
- Bernama

