Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Undi dengan bijak demi bekalan air, kata menteri

Penduduk Selangor mempunyai pilihan yang jelas untuk mengelak daripada dilanda krisis air dengan mengundi secara bijak pada pilihan raya umum ke-13 bagi memilih kerajaan yang mampu mentadbir negeri itu dengan cekap untuk tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin.

Beliau mendakwa dasar penghalang yang diamalkan kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu sepanjang lima tahun lepas hampir menggagalkan sepenuhnya usaha kerajaan persekutuan untuk memastikan wujudnya bekalan air yang mencukupi di Selangor, negeri yang paling pesat membangun dan wilayah ekonomi premier di negara ini, yang turut meliputi Kuala Lumpur dan Putrajaya.

 

"Oleh itu, jika anda tanya saya, apa yang boleh dilakukan penduduk Selangor untuk menamatkan segala ketidaktentuan berhubung jaminan bahawa mereka akan mendapat bekalan air yang mencukupi, maka inilah nasihat saya – mereka perlu bijak mengundi untuk memilih kerajaan yang akan mentadbir negeri itu.

"Mereka perlu memandang serius tentang isu air ini. Adakah mereka mahu sebuah kerajaan yang tidak melakukan apa-apa, selain mempolitikkan isu ini dan terus menafikan wujudnya masalah kekurangan bekalan air?," kata Chin dalam temubual dengan Bernama.

Beliau juga membidas kerajaan Selangor kerana memberi pelbagai hujah tidak munasabah dan aneh bagi menghalang projek yang dilaksanakan kerajaan persekutuan untuk menjamin wujudnya bekalan air yang mencukupi untuk tempoh jangka panjang.

Antara tindakannya yang paling mengecewakan ialah tidak mengeluarkan perintah pembangunan bagi loji rawatan air Langat 2, yang merupakan komponen penting bagi projek pemindahan air mentah dari Pahang, yang kini 70 peratus siap, kata Chin.

"Apa salahnya melaksanakan projek ini?.

"Mereka (kerajaan negeri Selangor) menuduh kami menyerahkan projek ini kepada kroni, sedangkan kami melaksanakannya secara telus melalui tender terbuka. Oleh itu, kepada pengundi di Selangor, berfikirlah dengan semasak-masaknya! Anda boleh selesaikan masalah ini secara muktamad melalui peti undi. Kerajaan persekutuan telah membuat keputusan muktamad untuk meneruskan pelaksanaan projek Langat 2, demi kepentingan negara," kata Chin.

Beliau berkata isyarat saling bercanggah yang diberi kerajaan pakatan pembangkang di Selangor tentang air menambahkan lagi kekusutan. Sebagai contoh, ia terus-menerus menafikan wujudnya masalah kekurangan bekalan air, tetapi pada waktu yang sama, bersetuju untuk melaksanakan beberapa projek mitigasi.

Kerajaan persekutuan bersetuju dengan pelaksanaan projek itu bagi mengelak berlakunya krisis air jangka pendek, tetapi ia hanya merupakan langkah sementara untuk memenuhi permintan terhadap air dari 2014 hingga 2016 kerana untuk jangka panjang, hanya Langat 2 yang boleh menyelesaikan masalah itu.

"Sebab itulah kami buat keputusan untuk meneruskan projek ini. Kami akan membuat penyerahan tender mengenainya," kata beliau.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), tanpa Langat 2, simpanan air mulai 2016 akan hanya berjumlah kira-kira 0.5 peratus atau 26 juta liter, yang "sebenarnya tidak langsung bermakna jika diambil kira bahawa setiap projek perumahan memerlukan dua hingga tiga juta liter," tegas Chin.

"Jadi, selama manakah 26 juta (liter) itu boleh bertahan? Menjelang 2017, kita menjangka jumlah defisit mencapai 2.9 peratus sekiranya tidak terdapat sumber lain, walaupun projek mitigasi dilaksanakan, di samping apa yang kita ada sekarang. Daripada segi angka mutlak pula, jumlah kekurangan air ialah 146 juta liter (jumlah persamaan).

"Menjelang 2018 pula, keadaan akan bertambah parah, mencecah jumlah kekurangan sebanyak 6.6 peratus. Jika keadaan ini berterusan, menjelang 2020, sekiranya tidak terdapat sumber lain dan tanpa Langat 2, (jumlah defisit) akan melebihi 14 peratus. Dan dengan kadar defisit sebanyak 14 peratus sekarang, siapakah yang akan menjadi mangsa? Rumah anda? Rumah saya? Rumah (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid, atau rumah (Datuk Seri Najib Razak) perdana menteri?

"Kita akan terpaksa mencatu air. Adakah kita bersedia untuk itu?, Jadi, nyatalah tidak ada sebarang sebab bagi sesiapa jua untuk menentang Langat 2," katanya.

Sepatutnya, kata Chin, Khalid telah menggunakan akal budinya untuk menangani isu itu.

Beliau berkata SPAN, sebagai pihak berkuasa air tertinggi di negara ini, perlu memberi kelulusan terhadap projek pembangunan baharu yang dilaksanakan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air ini.

- Bernama

ADS