Seorang anggota dewan DAP mendakwa anggota Barisan Nasional, Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersikap 'angkuh dan biadap' semasa sidang Dewan Rakyat membahaskan isu pemindahan program TV Pendidikan ke saluran satelit Astro bulan lalu.

"Saya tidak tahu kenapa beliau begitu sombang dan biadap dan tidak seharusnya beliau mengeluarkan kata-kata (tidak sopan) sedemikian," kata wakil Bukit Mertajam, Chong Eng kepada malaysiakini .

Dalam sesi soal jawab sidang dewan 29 Mac lalu, wakil BN dari Batang Lupar itu mengeluarkan kata-kata "balik hisap pepet" dan "budak kecik" sebanyak dua kali kepada wakil wanita DAP dari Batu Gajah, Fong Po Kuan.[[#1] Lihat petikan Hansard[/#] ]

Malaysiakini pernah melaporkan kenyataan Fong yang mendakwa anggota-anggota dewan dari BN tidak menghormati beliau sebagai wakil rakyat termuda.

Lulusan Universiti Islam Antarabangsa dalam jurusan undang-undang ini berusia 26 tahun.

Fong juga berkata beliau tidak berpuas hati dengan sikap segelintir wakil kerajaan dan paling ketara apabila Wan Junaidi mengeluarkan kenyataan tidak sopan sedemikian.

Semasa bersoal jawab dengan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus pada 4 April lalu, Fong juga dikasari apabila Khalid berkata, "ini apa hendak ini, budak datang dari mana ni?"

Sementara itu, Chong Eng juga memberitahu malaysiakini bahawa mesyuarat wakil Dewan Rakyat wanita tidak dapat dijalankan kerana ahli-ahli BN tidak menunjukkan minat. Bagaimanapun, Chong berkata mesyuarat itu akan diadakan segera dan berharap wakil BN memberikan kerjasama.