Perluas sistem rel, MRT lancarkan urusan rakyat
Usaha Barisan Nasional (BN) memperkasa sistem pengangkutan awam dilihat mampu melancarkan aktiviti harian rakyat serta mempertingkat ekonomi negara, kata Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak Profesor Dr Shazali Abu Mansor.
Beliau berkata inisiatif kerajaan dalam mengembangkan perkhidmatan sistem bas Rapid di seluruh negeri serta memperluas sistem rel dan projek Aliran Transit Massa (MRT) mampu melancarkan urusan harian rakyat.
"Penekanan sistem pengangkutan bas di setiap negeri membantu aliran pengurusan harian penduduk setempat menjadi lebih lancar serta membantu mereka yang menjalankan perniagaan kerana menepati masa itu sangat berharga," katanya ketika dihubungi Bernama .
Merujuk projek kerjasama pembinaan link Kereta Api Berkelajuan Tinggi antara Malaysia dan Singapura, beliau Shazali berkata ia akan membuka lebih banyak peluang bagi perdagangan rentas sempadan serta pelaburan di kedua-dua negara.
Pensyarah ekonomi Universiti Utara Malaysia Profesor Amir Hussin Baharuddin pula berkata penambahbaikan pengangkutan awam oleh BN bakal memberi keselesaan kepada rakyat.
"Penyediaan lebih banyak tempat letak kereta seperti 'Park and Ride' turut menggalakkan lebih ramai pengguna, terutama mereka yang memandu kenderaan sendiri, menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas," katanya.
Pensyarah Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata rakyat boleh menilai sendiri kemampuan BN dalam melunas komitmen yang dijanjikan dari aspek menaik taraf pengangkutan awam.
"Apa yang dikemukakan oleh BN seperti mengembangkan perkhidmatan sistem bas Rapid ke setiap ibu negeri, memperluas sistem MRT, Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter, membina terminal bas serta menyusun semula laluan bas bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan memudahkan rakyat, antara perkara yang sedang dilakukan.
"Pada masa akan datang, kita akan menyaksikan perkhidmatan kereta api kelajuan tinggi antara Malaysia dan Singapura... itu juga usaha kerajaan dalam mempertingkat kecekapan pengangkutan awam," katanya.
Beliau berkata perancangan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dari Semantan di Sarawak hingga ke Serudong, Sabah juga dilihat mampu memperluas sistem perkhidmatan pengangkutan awam di dua negeri berkenaan sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan.
Sivamurugan juga berpendapat pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan cara untuk menggalakkan orang ramai membiasakan diri dengan sistem perkhidmatan awam dalam kehidupan harian mereka.
- Bernama

