Perkhidmatan kesihatan dalam negara selama ini diakui telah dilaksanakan dengan cemerlang dan wajar diteruskan demi kebaikan rakyat.

Menyifatkan langkah-langkah yang diambil kerajaan hampir sempurna meliputi setiap lapisan masyarakat, Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata tidak ada isu lagi yang sepatutnya ditimbulkan mengenainya.

Tambahan, beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah membuka Klinik 1Malaysia bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan dan berjanji untuk menambahnya jika diberikan mandat pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

"Walaupun klinik ini bukan percuma 100 peratus, tetapi RM1 dah sangat murah, boleh dikira sebagai simbolik kepada penjagaan kesihatan percuma," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sabtu lepas, Barisan Nasional (BN) dalam manifesto PRU-13 bertemakan 'Menepati Janji Membawa Harapan' antara lain melahirkan komitmen membuka 70 buah lagi klinik 1Malaysia sebagai tambahan kepada 175 klinik sedia ada, selain menaik taraf 350 klinik kerajaan.

BN juga berjanji melaksanakan sistem kad prihatin, mewujudkan kemudahan awam bagi rawatan dialisis buah pinggang di setiap kawasan penduduk berkepadatan tinggi serta menubuhkan Pusat Kanser dan Pusat Jantung di hospital utama.

"Saya ingat kerajaan telah jalankan dengan baik, tambahan sehingga kini tiada kes pun yang dilaporkan mengenai pesakit yang dinafikan haknya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan," kata Shazali.

- Bernama