Pada 10 April lalu, jam 6.20 petang, sekali lagi merupakan detik hitam dalam diariku bersama ayah. Sebelum ini, pada Oktober 1998 peristiwa tangkapan ayah agak trauma bagiku.

Tiga tahun lalu, ayah pertama kali ditahan polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan aku satu-satunya saksi di situ.

Namun, pengalaman itu telah mengajarku menjadi lebih tabah. Pengorbanan ini dikira masih sedikit berbanding tokoh-tokoh awal seperti Syed Qutb, Imam Hassan Al-Banna, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi di Malaysia.

Pada Selasa itu, tiada setitis air mataku pun tumpah demi pengorbanan ayah yang memang tidak akan sia-sia. Sambil memelukku, ayah sempat membisikkan kata-kata, " be strong ." Penahanan kali ini kurasakan berbeza sekali.

Semacam ada kekuatan yang Allah anugerahkan sehingga dengan beraninya kulaungkan, "Reformasi!", berulang-ulang kali di hadapan polis tatkala ayah dibawa masuk ke dalam kereta Proton Wira berwarna putih. (Mungkin kerana inilah aku agak paranoid dengan kereta Proton Wira berwarna putih).

Aku mengenali ayah seorang yang gigih. Apa yang ayah lakukan diberikan tumpuan sepenuhnya. Dedikasi ayah dalam perjuangan, tidak kira ketika menerajui Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sepanjang 10 tahun tahun sejak 1990, mahupun dalam era reformasi, merangsang kami adik-beradik menjadikan ayah sebagai model.

Menggulingkan kerajaan?

Biar apapun yang ingin difitnahkan kerajaan, namun aku lebih mengetahui betapa jujurnya ayah dalam perjuangan ini. Ayah yang kukenal, tidak suka budaya kerja yang tidak telus. "Bersikap teluslah. Buat apa nak sorok-sorok!" begitu katanya. Adakah orang seperti ini yang dituduh cuba merancang untuk menggulingkan kerajaan secara militan?

Semangat perjuangan ayah tidak pernah pudar. Pernah dalam suatu perbincangan, kami berbicara tentang masa depan saya selepas tamat pengajian di universiti. Katanya, "kesenangan dan kemewahan menjadikan kita sukar untuk berkorban dan berjuang. Kalau bukan kita yang bekerja mereformasikan kerajaan dan menggantikannya dengan kerajaan adil, siapa lagi?"

Ayah awal-awal lagi memang sudah menjangkakan penahanannya dan memberitahuku hampir sebulan sebelum tarikh keramat 14 April lalu. Pesan ayah, "kali ini, tak nak nangis-nangis."

Mungkin sudah menjadi sunnah orang berjuang, pelbagai dugaan kami sekeluarga terpaksa hadapi. Perlu lari ke sana ke mari, rumah dimasuki perompak, digeledah polis seolah-olah kami tiada hak lagi untuk mempertahankan kediaman sendiri. Apa yang pasti, ayah tetap teguh dengan pendiriannya yang sentiasa berpegang pada prinsip keadilan. Keluarga tidak menjadi penghalang.

Sering aku lihat ayah menjaga hubungannya dengan Allah, mungkin sebagai persediaan membina kekuatan jiwa. Ayah jarang sekali meninggalkan qiamullail -nya (sembahyang malam). Hampir setiap masa di rumah, ayah gunakan untuk membaca al-Quran. Kini terbayang-bayang ayah duduk bersila di ruang legar tingkat atas rumah kami membaca al-Quran besarnya.

Seorang gugur, seribu muncul

Setiap Isnin dan Khamis jika tidak sakit, ayah akan berpuasa sunat. Waktu petang, ayah akan perutukkan masa untuk berjoging dengan mama atau bermain badminton dengan adik-adik. Pada hari-hari tertentu pula, jika sempat ayah akan pergi memancing ikan (hobi kegemaran ayah). Katanya, untuk tenangkan fikiran.

Ayah gemar berkomunikasi dengan tulisan-tulisan yang dikirim melalui e-mel. Berjam-jam ayah duduk di depan komputernya, memeriksa e-mel dan membalas satu persatu. Adakah begini orangnya yang dituduh bertindak ala militan, wahai tuan Ketua Polis Negara?

Sering saya berdoa agar Allah memberikan kekuatan kepada ayah bagi menghadapi dugaan ini. Begitu juga kami sekeluarga. Alhamdulillah, ayah dianugerahkan seorang isteri yang cekal. Mama tidak pernah menangis. Tidak pernah saya lihat air mata mama dititiskan, dulu atau sekarang.

Saya rasakan kenangan bersama ayah amat berharga. Tidak cukup untuk diungkapkan dalam tulisan ringkas ini. Sepanjang 21 tahun bersama ayah, terlampau banyak yang saya pelajari daripada seorang pejuang seperti Saari Sungib, sekali lagi mangsa kezaliman ISA, dan ayah kami tersayang.

Andaikata ayah gugur, doa saya biar ayah pergi sebagai orang syahid. Biar gugur seorang, muncul lagi seribu pejuang.


ANFAAL SAARI adalah anak sulung Saari Sungib, kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 10 April. Sebelum ini, Saari pernah ditahan di bawah akta yang sama pada 12 Oktober, 1998

Rencana berkaitan: