Pakatan pembangkang menyifatkan tempoh berkempen selama 15 hari seperti yang diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencukupi dan munasabah untuk mereka berkempen.

    

Sambil memuji pengumuman SPR hari ini yang menetapkan 20 April iaitu Sabtu sebagai hari penamaan calon dan 5 Mei (Ahad) sebagai hari mengundi bagi pilihan raya umum ke-13, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua Kiam Wee turut menyifatkan tempoh itu adalah yang terpanjang sepanjang pilihan raya umum diadakan.

    

"Biar pun sebelum ini kami pernah menuntut tempoh kempen selama 21 hari, namun tempoh 15 hari yang diberikan SPR itu cukup panjang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyambut baik pengumuman SPR itu dan menyifatkan tempoh berkempen untuk pilihan raya umum ke-13, munasabah.

    

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh berkata tarikh penamaan dan pengundian telah pun dijangka pihaknya.

    

"Pun begitu, saya tidak berpuas hati kenapa SPR tidak menerima cadangan berkempen 21 hari seperti yang telah dicadangkan dalam PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya)," katanya.

Bersiap sedia   

Beliau bagaimanapun berkata pakatan pembangkang telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 sejak setahun dahulu dan menegaskan persiapan jentera parti kini berada di tahap 99 peratus untuk digerakkan.

    

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 April lepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13.

    

Ketika Parlimen dibubarkan, komposisi di Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), PAS (23), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (23) kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.

Sementara itu di KOTA BAHARU, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata tempoh kempen itu adalah sesuai, tidak terlalu lama dan singkat bagi memberi peluang kepada parti yang bertanding untuk berkempen.

    

Mengenai calon PAS Kelantan, Mohd Amar berkata kira-kira 30 peratus calon PAS bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan bagi PRU13, terdiri daripada muka baru.

    

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Bilik Gerakan Pasukan Peguam PAS Kelantan di Jalan Sultanah Zainab hari ini, beliau berkata calon itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional dan agama.

Senarai calon   

Katanya senarai calon PAS Kelantan akan diumumkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum hari penamaan calon.

    

PAS juga menubuhkan bilik gerakan pasukan peguam PAS itu, dengan seramai 55 orang peguam dilantik membantu calon dan jentera parti dalam melaksanakan tugas pilihan raya yang berkaitan dengan peraturan dan undang-undang pilihan raya dengan diketuai Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi PAS Kelantan Hisham Fauzi.

Di GEORGE TOWN, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata parti itu menyambut baik tempoh berkempen selama 15 hari dan menyifatkannya cukup untuk semua calon menjalankan aktiviti kempen dan mengatur ceramah dengan baik di kawasan mereka bertanding.

"Calon boleh 'cover' semua kawasan dan mengatur program ceramah dengan lebih teratur," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, berkata sekalipun ada yang beranggapan tempoh itu agak panjang, Umno dan BN menganggap ada kebaikan kerana berpeluang memperhebatkan usaha memikat pengundi.

   

"BN dan Umno khususnya tiada masalah malahan tempoh ini memberi kelebihan untuk kita mendekati pengundi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.  

Justifikasi tersendiri

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata parti berkenaan akan menggiatkan kempen sekalipun jentera pilihan raya telah bergerak sejak setahun lepas.

   

"Namun tidak dapat dinafikan keadaan ini akan meletihkan jentera apabila tiba hari mengundi," katanya.

   

Pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew pula berkata SPR mempunyai justifikasi tersendiri apabila menetapkan tempoh berkempen yang agak panjang itu.

     

"Kita akur dan teruskan dengan kempen," katanya.

   

Sementara itu Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata partinya bersedia mengharungi tempoh berkempen yang agak panjang berkenaan.

- Bernama