LGE: Lawan rasuah, bukan tandatangan ikrar saja
Jika Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak tidak komited untuk membanteras rasuah, maka ia "tidak bermakna" apabila beliau menandatangani ikrar integriti bagi pilihan raya yang bersih, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Lim berkata Najib dan pemimpin BN dalam kerajaan sementara belum lagi mengisytiharkan harta, melaksanakan tender terbuka yang kompetitif dan mengembalikan kenderaan milik kerajaan Malaysia sejak parlimen dibubarkan pada 3 April lalu.
"Apalah gunanya mendirikan mahkamah khas untuk mengendalikan kes rasuah sekiranya ia sekadar bertujuan menjadi perhiasan dan wujudnya ‘double standard' apabila mereka yang berkedudukan tinggi tidak dihukum apabila melanggar undang-undang anti-rasuah?" soal Lim dalam satu kenyataan.
Sebagai contoh, dakwa beliau, Najib gagal memberi maklumbalas terhadap kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang enggan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lim berkata tindakan Taib menganggap SPRM sebagai "tidak jujur dan nakal" adalah amat mengejutkan dan keengganannya memberi kerjasama "adalah sebuah pelanggaran serius terhadap tanggungjawab undang-undang dan tugas beliau".
Di bawah Seksyen 47 dan 48 Akta SPRM 2009, keengganan untuk memberi kerjasama kepada SPRM apabila seseorang individu disiasat boleh menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda maksima RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

