'Huru-hara' cuba ditimbulkan Sabtu ini, kata KDN
Kementerian Dalam Negeri menerima banyak maklumat daripada polis berhubung perhimpunan '14 Hitam' yang dijadualkan pada Sabtu ini di perkarangan Masjid Negara.
Setiausaha Parlimen KDN, Datuk Seri Abu Zahar Isnin berkata, pihak polis telah mengenal pasti kumpulan tertentu yang cuba mencetuskan "keadaan tidak tenteram" pada perhimpunan sempena memperingati setahun bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara selaman enam tahun.
"Polis menjalankan siasatan dan telah kenal pasti kumpulan yang akan bertindak," kata Abu Zahar kepada malaysiakini hari ini di lobi Parlimen, menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hujung minggu lalu
Dr Mahathir dilaporkan berkata Parti KeADILan Nasional sedang merancang melakukan "rusuhan" dalam perhimpunan itu dan mereka sedang "menyiapkan bom molotov cocktail, senjata dan kayu."
Abu Zahar berkata kerajaan "sudah terlalu liberal" terhadap rakyat negara ini, apabila ditanya tentang ketiadaan kebebasan berhimpun secara aman seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara dan siri penangkapan penyokong reformasi.
"Buat masa ini tidak ada lagi tahanan ISA walaupun ada pihak tertentu yang telah menimbulkan keadaan huru-hara di negara ini," katanya.
Abu Zahar berkata kerajaan tidak bertindak sebarangan.
"Kebiasaannya perhimpunan aman bertukar menjadi ganas apabila penceramah berhujah secara berapi-api dan keadaan hura-hara mungkin akan berlaku," kata bekas Ketua Menteri Melaka itu.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda KeADILan, Mohamad Ezam Mohd. Nor, menafikan kenyataan itu. Katanya, berdasarkan pengalaman lampau, keadaan huru-hara tidak berlaku sehinggalah pihak polis memulakannya.
"Adakah mengajak rakyat bersembahyang dan berhimpun secara aman dengan niat untuk menegakkan keadilan bertentangan dengan syarak?" kata Ezam kepada malaysiakini , apabila diminta mengulas kenyataan Imam 1 Masjid Negara, Azhari Othman bahawa perhimpunan itu akan mencemari kesucian masjid.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan di muka depan kenyataan Azhari, "kelak bangsa-bangsa lain memandang rendah tempat ibadat umat Islam sebagai medan pencetus pergaduhan dan keganasan."
Katanya, imam Masjid Negara itu telah diberi tanggapan yang salah ekoran kenyataan negatif Dr. Mahathir berhubung perhimpunan tersebut. Lagipun, menurut Ezam, perhimpunan itu berjalan secara aman dan sekejap sahaja.
Ezam berkata para penyokongnya dilarang membawa sebarang objek yang boleh ditafsirkan sebagai senjata.
Dalam perkembangan lain, seorang penyokong reformasi, Mohd Junus Ibrahim, ditahan reman selama empat hari untuk siasatan dalam kes 'rusuhan' di Kg Baru, Kuala Lumpur pada pertengahan November 1998.
Beliau dibawa ke mahkamah magistret pagi ini setelah ditahan semalam di lokap balai polis Dang Wangi.
Junus ditangkap di depan Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur tengah hari semalam ketika bersama 50 penyokong reformasi yang sedang menunggu Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, keluar daripada siasatan polis.
Azizah disiasat selama dua jam berhubung satu perhimpunan hari keluarga anjuran partinya yang dijalankan tanpa permit Ahad lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.