Polis KL terima 46 laporan berkaitan PRU
Polis Kuala Lumpur menerima 46 laporan berkaitan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sejak Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April lepas, termasuk tiga kes ugutan jenayah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghani berkata kes ugutan jenayah itu melibatkan tindakan parti-parti politik menaikkan bendera di kawasan parti lawan, dan telah diugut oleh penyokong parti lawan dengan menggunakan senjata tajam seperti parang.
Bagaimanapun jumlah terbesar laporan yang diterima melibatkan
perhimpunan atau ceramah parti politik tanpa permit, iaitu sejumlah 18 kes, katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Izany berkata polis juga menerima laporan mengenai halangan atau provokasi semasa memasang bendera parti iaitu sebanyak 16 kes, membakar bendera parti (empat kes), curi bendera (dua), pengedaran risalah (satu), dan penyerahan memorandum tidak berpuas hati terhadap manifesto parti-parti politik (dua).
Beliau berkata pihak olis telah menyiasat kesemua kes berdasarkan peruntukkan undang-undang sedia ada tanpa mengambil kira individu atau mana-mana parti yang terlibat.
Izany turut menasihatkan calon-calon dan penyokong parti supaya mendapatkan permit bagi mengadakan perhimpunan atau ceramah bagi memudahkan polis memantau dan mengawal perhimpunan yang diadakan.
"Penyokong parti diminta supaya tidak memasang bendera di lampu-lampu isyarat atau mana-mana tempat yang boleh menghalang perjalanan trafik dan pandangan pengguna lalulintas bagi mengelakkan kesesakan dan kemalangan jalan raya," katanya.
Beliau berkata keadaan cuaca yang tidak menentukan juga turut menyebabkan bendera parti rosak dan untuk itu, petugas-petugas parti politik dinasihatkan supaya sentiasa memantau dan membersihkan kawasan mereka memasang bendera bagi mengelakkan salah sangka atau tanggapan bendera atau lambang parti berkenaan dirosakkan oleh pihak lawan.
"Sedangkan bendera parti berkenaan rosak, tumbang atau jatuh disebabkan oleh faktor cuaca," katanya.
Justeru itu, beliau berharap semua aktivis parti supaya mengamalkan sikap berbaik sangka dan bertoleransi serta mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
- Bernama

