Beberapa muka baru calon BN Terengganu dalam pilihan raya umum 5 Mei ini terdiri daripada pegawai kanan kerajaan.
Mereka akan meletakkan jawatan, tetapi berazam akan memanfaatkan pengalaman dan tanggungjawab bidang kerja mereka, dalam kempen memastikan kemenangan BN serta dalam membawa perubahan di kawasan yang mereka wakili kelak.
Hakim Mahkamah Sesyen di Jalan Duta Kuala Lumpur Che Mohamad Zulkifly Jusoh, yang dicalonkan bertanding bagi kerusi Parlimen Setiu sudah bersedia untuk berkempen menghadapi isu berkisar masalah tempatan di Kuala Terengganu.
"Saya bukan orang politik. Saya hanya anggota biasa dalam Umno. Namun, walaupun saya di Kuala Lumpur, saya masih ambil tahu apa juga perkembangan di Setiu melalui kawan-kawan.
"Walaupun agak terkejut, namun saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam pilihan raya kali ini yang pastinya akan menentukan kelangsungan nasib bangsa, agama dan negara," katanya.
Sementara itu, bagi calon kerusi Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari, beliau mahu memastikan agenda BN untuk merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar diberi tumpuan.
Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu berkata beliau akan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang ada hasil bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan swasta sebelum ini untuk terus mencurah bakti kepada masyarakat.
Calon Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan Abdul Latif Awang pula menyifatkan pengumuman 15 calon muka baharu BN negeri ini untuk PRU13 bakal memberi lembaran baharu dalam memperkasa jentera BN.
"Segala pembangunan yang dijalankan BN selama ini akan kami teruskan dengan lebih cemerlang andainya rakyat memberi mandat besar pada PRU13 ini," katanya di Kuala Terengganu hari ini.
Kawasan Parlimen Kuala Terengganu pula menampilkan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong sebagai calon.
Mohd Zubir berkata asas perjuangannya nanti ialah memastikan agenda pendidikan negeri Terengganu terus melakar kecemerlangan supaya generasi muda Terengganu dapat memberi sumbangan besar kepada negara.
"Saya menyertai JPNT pada tahun 1996 dan ketika itulah bermulanya cabaran untuk memastikan Terengganu yang menduduki tempat ke-11 dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melakukan pelbagai transformasi.
"Hasilnya kini Terengganu berjaya muncul negeri nombor satu dalam beberapa peperiksaan utama negara dan Insya-Allah kita akan bekerja keras memastikan Terengganu terus menjadi negeri anjung ilmu," katanya.
Bagi Penolong Pengarah Kanan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar yang dicalonkan di DUN Jabi pula, kepercayaan yang diberi pucuk pimpinan kepadanya akan dimanfaatkan dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan itu.
"Ini ialah satu penghormatan kepada golongan muda... mungkin saya banyak mendekati golongan muda selama ini, aktif berpersatuan dan akan terus membawa suara orang muda sebagai aset negara yang akan terus dibela oleh BN," katanya.
- Bernama
