Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Veteran Umno Tan Sri Aishah Ghani meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur hari ini kerana sakit tua.

    

Aishah, 90, menghembuskan nafas terakhir pada 12.50 tengah hari setelah dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Jumaat lepas setelah kesihatannya tidak stabil, menurut cucunya Ahmad Arif Astaman.

    

Jenazahnya dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara petang ini.    

    

Aishah meninggalkan empat anak, tiga lelaki dan seorang perempuan.

    

Allahyarham merupakan wanita pertama Malaysia yang dilantik menjadi Senator dan wanita kedua di Malaysia yang menjawat jawatan Menteri selepas negara mencapai kemerdekaan.    

    

Pada 1949 beliau menyertai Umno dan menjadi setiausaha Cawangan Wanita Umno Kampung Baru.

    

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Sungai Serai, Ulu Langat pernah menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada akhir tahun 1945.

    

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Ulu Langat dan di Sekolah Diniyah Puteri, Padang Panjang, Sumatera serta pernah mengikuti kursus kewartawanan di London School of Journalism pada 1955.

    

- Bernama

ADS