Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti pembangkang hanya pandai memainkan isu perkauman dan isu agama untuk menarik sokongan rakyat dan bertahan sekian lama dalam arena politik di negara ini dengan ideologi itu, kata Datuk Zulkifli Noordin.

Calon Barisan Nasional BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam itu berkata sepanjang beliau bersama pembangkang dahulu, beliau telah dibutakan tentang kepentingan keharmonian kaum di negara ini dan disemaikan dengan fahaman sempit politik perkauman dan bersifat pelampau.

"Bukan setakat antara kaum, saya dahulu diajar membenci kaum sendiri. Bila bersama BN saya diajar politik keharmonian dan kasih sayang, kepentingan kepelbagaian kaum dan agama ini bersatu di bawah satu panji-panji bagi membangunkan Malaysia demi masa depan rakyat.

"BN yang telah membuka mata saya bahawa penyatuan antara kaum dan berbilang agama itu adalah sesuatu yang boleh dilakukan, ia bukan angan-angan," katanya kepada pemberita di Shah Alam malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas majlis makan malam bersama badan bukan kerajaan India dan masyarakat India Shah Alam yang dihadiri kira-kira 100 orang.

Turut hadir calon BN bagi DUN Batu Tiga, Datuk Ahmad Nawawi M Zin dan penasihat Persatuan Kebajikan Modal Insan Selangor, S K Subramaniam.

Sebelum ini Zulkifli yang juga Naib Presiden Perkasa dipalit kontroversi apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyiarkan ceramah beliau yang mempersenda agama Hindu ketika dalam pembangkang kira-kira lapan tahun lepas namun beliau telah meminta maaf secara terbuka kepada masyarakat India.

Beliau berkata kontroversi yang melanda dirinya itu merupakan contoh jelas bagaimana pembangkang memainkan isu perkauman dan perbezaan agama untuk meraih sokongan politik untuk kepentingan diri.

"Mereka (pembangkang) tak cermin diri sendiri, ketika pencalonan tempoh hari pencadang dan penyokong saya terdiri daripada orang Cina dan India masing-masing daripada MCA dan MIC, begitu juga dengan Datuk Ahmad Nawawi. Tetapi mereka (calon, penyokong dan pencadang di Shah Alam) daripada satu kaum sahaja.

"Kita yang berbilang latar belakang memang kadang kala ada perselisihan faham, namun BN mengajar saya cara menyelesaikan masalah itu secara perbincangan dan penerangan serta meminta maaf dengan ikhlas hati. Ini sesuatu yang pembangkang tidak ajar saya," katanya.

Sementara itu, Subramaniam menyatakan keyakinan bahawa Zulkifli adalah calon terbaik bagi mewakili ketiga-tiga kaum utama di Shah Alam dan menegaskan bahawa kontroversi yang melanda Zulkifli itu adalah perkara lepas yang tidak sepatutnya diungkit kembali.

"Kami masyarakat India dan dalam agama kami diajar memaafkan mereka yang benar-benar ikhlas meminta maaf kepada kami dan insaf apa yang dia lakukan. Ini juga yang membuatkan kita rakyat Malaysia mampu hidup harmoni sejak lama dahulu," katanya.

- Bernama

ADS