Najib: Dulu menentang, sekarang Hindraf sokong BN
NAJIB UMUM TAMBAHAN DUA AKU JANJI SELANGOR
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan dua Aku Janji tambahan untuk Selangor, termasuk mengkaji semula kadar pertukaran syarat kegunaan tanah dari pertanian kepada perindustrian untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) sekiranya BN kembali memerintah Selangor.
Beliau berkata pada masa kini kadar tukar syarat tanah yang dikenakan kepada SME di Selangor oleh kerajaan pakatan pembangkang adalah tinggi dan BN akan mengkaji untuk menurunkannya.
Selain itu, katanya, BN juga akan membuat jalan baharu di kawasan perindustrian SME di sini memandangkan jalan utama di kawasan perusahaan yang kedua terbesar di dalam negara itu tidak lagi sesuai.
"Mula-mula saya hendak naik bas ke sini tetapi tidak boleh kerana jalan sempit, oleh itu saya nak bawa salah satu daripada tambahan Aku Janji kalau BN berkuasa balik di Selangor kita buat jalan baharu untuk kawasan SME di sini," katanya ketika berucap pada majlis bertemu rakyat di Kampung Baru Sungai Buloh.
Najib berkata sekiranya manifesto pakatan pembangkang yang mahu meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM4,000 sebulan, maka negara dan pengusaha SME khususnya juga boleh jatuh bankrap kerana tidak mampu membayar gaji pekerja mereka.
"Kita hendak bagi gaji minimum RM900 sebulan pun SME kata nanti mereka bankrap, bayangkan kalau RM4,000 adakah anda mampu, anda bekerja keras tapi kalau kena bayar RM4,000 setiap bulan...anda akan jadi bankrap," katanya.
Beliau berkata pengusaha SME mahu perniagaan mereka berkembang dari semasa ke semasa dan bertambah kukuh tetapi jika mereka terpaksa membayar gaji setiap pekerja sebanyak RM4,000 sebulan sudah pasti mereka akan bankrap.
"Sepatutnya lebihan untung yang mereka perolehi boleh dilaburkan untuk membina kilang-kilang baharu dengan mesin terkini supaya perniagaan mereka boleh menjadi lebih kukuh dan mereka akan mampu membayar gaji yang lebih baik untuk pekerja mereka," katanya.
Najib berkata manifesto pembangkang adalah dokumen yang tidak bertanggungjawab dan boleh membawa kepada kehancuran ekonomi tetapi BN adalah sebaliknya yang sentiasa mahu membantu rakyatnya.
"Saya tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat, sebagai perdana menteri, saya tidak akan membenarkan negara ini hancur semata-mata hanya kerana mahu undi daripada rakyat.
"Saya adalah pemimpin yang mengambil berat tentang negara ini. Saya akan sama-sama bertanggungjawab bagi memastikan negara ini diurus dengan baik," katanya.
Najib, yang juga Pengerusi BN Selangor, berharap agar rakyat tidak terus terpedaya dan tertipu selamanya dengan dakyah pembangkang yang sebenarnya tidak sepakat dan berbeza ideologi.
"Anda boleh menipu rakyat sekali tetapi anda tidak boleh menipu orang sepanjang masa... satu kapal tidak boleh ada tiga kapten, manifesto mereka tidak sebut pasal orang India, tetapi kita banyak sebut pasal orang India.
"Sebab itu sekarang orang India semua sokong, Hindraf pun sudah sokong kita, dulu mereka menentang tetapi sekarang sokong kerana dia ada 'nambikei' iaitu kepercayaan dengan BN sebab kita sudah buat banyak untuk orang India," katanya.
Beliau berkata orang Cina, Melayu dan India di negara ini harus bekerjasama sebagai satu keluarga supaya negara akan kekal aman dan harmoni.
"Kalau bergaduh sesama kita, negara hancur, perniagaan pun hancur, bisnes habis, ekonomi dan saham pun jatuh, kalau nak berjaya perlu mewujudkan persekitaran yang aman dan harmoni," katanya.
Najib berkata rakyat tidak perlu bereksperimen yang boleh membawa kepada kerosakan negara dan harus meletakkan kepercayaan penuh kepada kemampuan BN dalam mentadbir negara yang mengandungi masyarakat majmuk.
Perdana Menteri berkata kerajaan yang dipimpinnya selama empat tahun telah mendapat pelbagai pengiktirafan terutamanya dalam bidang ekonomi termasuk daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
"Ini hanya permulaan kepada perjalanan transformasi kita...kita tidak boleh hilang momentum, kita tidak boleh lembap, kita punya momentum sebab kalau bergerak perlahan negara lain akan memintas kita seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand," katanya.
Beliau berkata apa yang penting adalah kestabilan politik kerana ia akan menambah keyakinan rakyat dan juga membenarkan kerajaan merancang pelbagai dasar bukan hanya untuk jangka pendek tetapi jangka yang lama.
"Kalau ada lima tahun lagi saya yakin dan percaya Wawasan 2020 akan menjadi realiti, percayalah apa yang kita hendak Malaysia sebagai negara maju, sebuah negara berpendapatan tinggi di mana semua rakyat dapat manfaat," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut merasmikan dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Buloh sempena lawatan pertamanya ke Kampung Baru Sungai Buloh.
- Bernama

