Kerajaan hari ini menegaskan kekebalan peguam tidak mutlak tetapi sebagai keistimewaan yang diperuntukkan dalam akta profesyen guaman. Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, Noh Omar berkata keistimewaan ini "tidak pernah diganggu-gugat oleh kerajaan."

"Adalah tidak tepat sekiranya hak dan keistimewaan yang diperuntukkan oleh undang-undang ditafsirkan sebagai mutlak. Para peguam seperti individu lain dan mereka tidak kebal dari segi undang-undang," kata Noh, menjawab soalan yang dikemukakan oleh wakil Parti Bersatu Sabah dari Tanjung Aru, Dr Yee Moh Chai.

Yee dalam soalannya inginkan pengesahan kerajaan sama ada kekebalan dan hak keistimewaan peguam pernah dimansuhkan.

Hak dan keistimewaan seseorang peguam diperuntukkan dalam Bahagian IV Akta Profesyen Undang-undang 1976, Seksyen 8 Ordinan Peguam Bela Sabah (Bab 2) dan Sekyen 8 Ordinan Peguam Bela Sarawak (Bab 110) masing-masing bagi peguam bela dan peguam cara di Semenanjung Malaysia, peguam bela di Sabah dan di Sarawak.

Peruntukan-peruntukan tersebut adalah hak eksklusif seseorang peguam untuk mewakili dan hadir bagi anak guamnya di mahkamah mengikut undang-undang yang terpakai bagi sesebuah mahkamah.

Menurut Noh, kerajaan tidak ada cadangan untuk menyekat atau menghadkan hak keistimewaan itu. Bagaimanapun, beliau berkata ia tidak harus disalahgunakan dan peguam juga boleh dikenakan tindakan sekiranya disabit kesalahan.

Dewan Rakyat menjadi gamat apabila wakil DAP dari Cheras, Tan Kok Wai mempersoalkan tuduhan terhadap peguam dan Naib Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertahankan anak guamnya, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Januari lalu, Karpal dituduh di mahkamah di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan "seseorang pemimpin tertinggi mungkin di belakang kes keracunan arsenik" ketika perbicaraaan kes liwat Anwar pada September tahun lalu.

Tan menyeru kerajaan agar mengkaji laporan "Justice in Jeopardy: Malaysia 2000" (Keadilan dalam Bahaya: Malaysia 2000) demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman di Malaysia.

Sebuah pertubuhan peguam antarabangsa, International Bar Association, mengeluarkan laporan itu pada 5 April lalu di Geneva sempena persidangan hak asasi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Laporan itu mengkritik sistem kehakiman negara ini yang dianggap tidak bebas akibat tekanan yang meluas pihak eksekutif.

Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen itu mendakwa keyakinan rakyat terhakis kerana permainan pihak pembangkang dan laporan negatif yang dibawa oleh pihak-pihak dari negara luar.

"Kalau kita mudah terpengaruh dengan laporan antarabangsa ini dan maklumat ini sampai kepada rakyat, sudah tentu maklumat yang salah akan diterima oleh rakyat," kata Noh lagi.

Sementara itu, Setiausaha Politik Ketua Pembangkang, Dr. Mohd Hatta Ramli menjelaskan bahawa kredibiliti laporan yang telah dikaji oleh badan antarabangsa yang bebas itu tidak harus dipertikaikan.

"Adalah tidak adil permerhatian dan kajian itu ditafsirkan sebagai negatif. (Tetapi) sekiranya (laporan itu) salah atau berlaku pembohongan, kerajaan perlu menjelaskan atau mengambil tindakan," kata Hatta.