BERITA

Petugas media mula terima kertas undi pos

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Apr 2013, 6:40 pagi

Kertas undi pos mula diterima secara berperingkat oleh pengamal media bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Sabri Said memberitahu Bernama sampul keutamaan yang mengandungi kertas undi bagi calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mula dikeluarkan sejak 22 April lepas oleh Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya di tempat mereka didaftarkan dan mengundi.

"Sampul-sampul keutamaan itu dihantar kepada pengundi melalui surat berdaftar oleh Pos Malaysia Berhad," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kertas undi itu perlu dikembalikan kepada RO pilihan raya melalui pos tanpa setem selewat-lewatnya 5 Mei ini, sebelum 5 petang.

"Bagaimanapun, bilangan sebenar pengamal media yang akan menggunakan kemudahan ini hanya akan diketahui selepas SPR menerima statistik daripada RO setiap negeri," katanya.

Berdasarkan laporan Bernama sebelum ini, kira-kira 10,000 petugas media bakal menggunakan kemudahan itu.

Pada PRU kali ini, buat pertama kalinya, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar layak mengundi secara pos.

Selain pengamal media, turut layak mengundi pos ialah anggota tentera dan polis yang bertugas di luar kawasan, pengundi tidak hadir (PTH) iaitu penjawat awam yang berkhidmat di perwakilan luar negara serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangan masing-masing, rakyat Malaysia yang berdaftar serta bermastautin di luar negara dan petugas SPR.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.