Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bos kastam mati ditembak 3 das di kepala, leher
Diterbitkan:  Apr 26, 2013 11:05 AM
Dikemaskini: 6:43 AM

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, ditembak mati pada jam 8.15 pagi ini ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.

Menurut laporan media, mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa, di Putrajaya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dilapor berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi.

Beliau dilapor sebagai berkata, allahyarham bersama pemandu dalam perjalanan dari rumah di Dengkil ke pejabat beliau di Putrajaya.

"Mangsa dipercayai ditembak tiga das di leher dan kepala," Ku dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata allahyarham adalah seorang pegawai kanan yang berkaliber dan berdedikasi, lapor Bernama .

   

Beliau berkata Jabatan Kastam kehilangan seorang pegawai kanan yang berhemah tinggi dan dihormati rakan serta masyarakat secara amnya, akibat kejadian malang itu.

   

"Kami anggap kejadian ini sebagai satu musibah besar bagi Jabatan Kastam, saya bagi pihak jabatan ucapkan takziah dan minta keluarga Allahyarham supaya banyak bersabar," katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya.   

Sementara itu Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata penjawat awam khususnya dari Jabatan Kastam tidak seharusnya patah semangat dengan kejadian hari ini.

Beliau yang ditemui di Hospital Putrajaya berkata penjawat awam khususnya yang beruniform, seringkali berhadapan dengan banyak dugaan yang benar-benar mencabar semasa menjalankan tugas.

   

"Kita harap semua warga kastam khususnya jangan patah semangat, teruskan dengan kerja serta tanggungjawab masing-masing, dan laksanakan ia dengan penuh integriti," katanya yang mengakui mengenali Allahyarham secara peribadi.

   

Beliau berkata Allahyarham merupakan seorang yang berdedikasi, mesra serta mudah didekati, dan menurutnya Cuepacs mengadakan perbincangan dengan badan-badan beruniform kira-kira dua hari lepas mengenai soal kebajikan mereka, dan Allahyarham mewakili Jabatan Kastam.

   

Sementara itu setiausaha kewangan Cuepacs Ja'apar Mansor yang juga pegawai Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPSM) ketika ditemui berkata tugas sebagai pegawai kastam sememangnya amat mencabar dan banyak dugaan perlu diharungi.

   

Beliau yang mengenali Allahyarham sejak 1980-an lagi berkata antara kes yang pernah dialami pegawai kastam sebelum ini ialah diugut, dilanggar kereta, rumah dibaling cat, dipukul dan sebagainya, namun kejadian hari ini adalah paling serius.

   

Turut ditemui di hospital ialah calon BN Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Tengku Mansor. 

ADS