Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dakwaan kemasukan ramai warga asing ke negara ini tidak akan memberi kesan kerana mereka tidak mempunyai hak dan kelayakan untuk mengundi.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata dakwaan pihak tertentu bahawa ada cubaan membawa masuk warga asing sebagai pengundi yang tersebar menerusi khidmat pesanan ringkas dan laman sosial adalah perang saraf pembangkang yang telahpun dijangka BN.

"Mana ada bawa warga asing. Buat apa nak datang ke sini, nak mengundi. Rakyat Malaysia yang tak berdaftar sebagai pemilih pun tidak boleh undi.

"Warga asing tidak ada kelayakan dari segi kerakyatan. Siapa pun nak bawa beratus ribu masuk Malaysia esok, tidak akan ada kesan. Kerana kalau mereka pergi ke pusat mengundi, ditanya kad pengenalan, mereka tunjuk IC Bangladesh, mereka akan dihantar balik," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga penduduk Felda Sri Ledang di Ledang hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran SMS dan laporan dalam media sosial bahawa terdapat puluhan ribu rakyat asing termasuk warga Bangladesh dibawa masuk ke negara ini untuk mengundi esok.

- Bernama