Ibu kepada calon PAS bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini akibat penyakit buah pinggang dan angin ahmar.
Salma Idris, 73, menghidap penyakit angin ahmar sejak 10 tahun lepas, menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak perempuannya Raihan Musa, 49, dan adiknya Raihanasim, 47, di hospital itu pukul 12 tengah hari.
Menurut anak perempuannya, Nasuha Musa, 40, ibunya dimasukkan ke hospital sejak dua minggu lepas, selepas tidak sedarkan diri akibat kegagalan buah pinggangnya berfungsi.
Salma meninggalkan 11 anak dan 51 cucu, manakala Husam adalah anak sulung bagi keluarganya. Suami Allahyarhamah, Musa Yahya, meninggal dunia pada tahun 2000.
Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tok Panjang, Kampung Kota, selepas solat Asar.
Husam bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya dan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Salor pada pilihan raya umum ke-13, esok.
Husam yang berada di Putrajaya untuk berkempen pulang untuk menguruskan jenazah ibunya.
- Bernama
