Calon BN Teratai mengundi berpakaian cef
Calon BN DUN Teratai, Ben Liew Pok Boon mencuri tumpuan orang ramai apabila beliau datang untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana dekat sini dengan berpakaian seperti seorang cef.
Liew, 37, seorang ahli perniagaan berkata beliau memilih untuk mengenakan pakaian itu bagi memberi gambaran kepada penduduk bahawa beliau mampu memberikan layanan 'lima bintang' kepada masyarakat setempat sekiranya beliau dipilih.
"Apabila saya tiba di sini, ramai penduduk bertanyakan kepada saya tentang itu dan tidak kurang juga ada yang mentertawakan saya kerana dirasakan sangat kelakar.
"Saya tidak kisah apa yang orang mahu cakap, saya cuma mahu menyampaikan mesej kepada mereka melalui imej ini bahawa penduduklah yang menjadi pelanggan saya dan saya akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengundi pada pukul 8.15 pagi.
Liew yang juga Ketua Pemuda Gerakan Selangor dan calon muka baru berkata oleh kerana tempoh berkempen berakhir tengah malam tadi dan pengundi tidak dibenarkan memakai baju berlogo parti, maka beliau memilih untuk mengenakan pakaian sedemikian untuk menarik perhatian orang ramai.
"Dengan cara ini, penduduk akan lebih mudah mengecam siapa saya," katanya.
Beliau yakin pada pilihan raya kali ini beliau mampu meraih sokongan daripada 42 peratus masyarakat bukan Cina selain sokongan kaum Cina yang semakin meningkat.
"Sebenarnya sokongan kaum Cina di kawasan ini rendah, tetapi setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke sini untuk bertemu mereka, saya melihat sokongan mereka terhadap BN telah meningkat.
“Sokongan Melayu dan India di sini amat baik serta amat tinggi kerana banyak masalah telah diselesaikan oleh saya dan pasukan saya,” katanya.
Kawasan DUN Teratai terdiri daripada 34 peratus pengundi Melayu, 58 peratus Cina dan 5.8 peratus India yang mempunyai jumlah pengundi seramai 40,897 orang.
DUN Teratai akan menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Liew, Tiew Way Keng (DAP) dan tiga calon Bebas iaitu Lim Ah Chai, Chin Kok Keong dam Jenice Lee Ying Ha.
- Bernama

