Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MCA dibadai kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan hilang lebih banyak kerusi kepada pembangkang, yang berjaya meranapkan "kubunya" di Johor.

    

Parti itu hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi negeri, jauh lebih sedikit daripada 15 kerusi parlimen dan 32 kerusi negeri yang dimenanginya dalam PRU 2008. Pada PRU kali ini, MCA bertanding di 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi negeri.

    

Kerusi parlimen yang dimenanginya ialah Tanjong Malim di Perak, Bentong di Pahang dan Alor Gajah di Melaka, manakala di Johor, ia hanya dapat mengekalkan empat kerusi berbanding tujuh pada 2008. Kerusi berkenaan ialah Labis, Ayer Itam, Tebrau dan Tanjung Piai.

    

Sebelas kerusi negeri yang dimenanginya ialah Titi Tinggi di Perlis, Gurun dan Kulim di Kedah, Chenderiang di Perak, Damak dan Cheka di Pahang, Machap, Klebang dan Bemban di Melaka serta Paloh dan Pulai Sebatang di Johor.

    

MCA kalah kesemua kerusi yang ditandinginya di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, yang menunjukkan kegagalannya menawan kembali hati masyarakat Cina, walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan untuk memulihkan kekuatannya 2008.

    

Parti komponen Barisan Nasional (BN) ini hanya mampu mengekalkan satu kerusi di Perak (Chenderiang) dan hilang kubu kuatnya, Indera Kayangan di Perlis, kepada PKR.

    

Barangkali, satu-satunya perkara yang menjadi pengubat hati bagi parti ini ialah kejayaannya merampas kembali kerusi dewan undangan negeri Kulim daripada PKR.

     

Kecederaan paling parah yang dialami MCA pada PRU13 ialah kekalahan setiausaha agungnya Datuk Seri Kong Cho Ha dan naib presidennya Datuk Seri Chor Chee Heung di kerusi parlimen Lumut dan Alor Setar yang mereka sandang sebelum ini.

    

Bagaimanapun, timbalan presiden parti itu Datuk Seri Liow Tiong Lai berjaya mempertahankan kerusi parlimen Bentong di Pahang bagi penggal keempat apabila beliau mengalahkan calon DAP Wong Tack dengan majoriti 379 undi.

    

Dalam respons segeranya berhubung prestasi buruk MCA pada PRU13, presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata parti itu akan menolak sebarang jawatan dalam kerajaan.

    

"MCA akan menghormati keputusan pengundi dan sekiranya kami tidak mencatat prestasi lebih baik berbanding pada PRU lepas, kami tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan," katanya melalui twitter sejurus selepas tersebarnya berita BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan.

    

Bernama

ADS