Zambry angkat sumpah MB Perak
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.
ADUN Pangkor itu yang hadir diiringi isteri Datin Seri Saripah Zulkifli, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia, di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah pada jam 10.45 pagi.
Zambry yang berbaju Melayu lengkap berwarna hitam kemudian menandatangani
surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.
Hadir sama pada istiadat itu ialah Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim, Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, anggota DUN, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Dalam pilihan raya umum ke-13, Zambry mempertahan kerusi DUN Pangkor dengan majoriti 5,124 undi menewaskan dua pencabar iaitu calon Bebas Bernard Parenpa dan calon PKR Mohd Saifullah Mohd Zulkifli.
- Bernama

